KUALA LUMPUR – Permintaan buruh di Malaysia menunjukkan momentum pemulihan sederhana pada suku tahun pertama 2021 berikutan kelonggaran beberapa sekatan yang dikenakan pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan mulai Januari tahun ini.
Bagaimanapun, pelbagai insentif dan pakej rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan dijangka mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan seterusnya menyokong serta memacu pemulihan pasaran buruh.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, rumusan ini mengambil kira krisis kesihatan yang berlaku di Malaysia.
Sektor ekonomi merekodkan 177,900 kekosongan jawatan pada suku pertama 2021 menurut statistik guna tenaga suku pertama 2021 berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dilaksanakan ke atas perniagaan berdaftar sektor swasta.
Kekosongan jawatan di sektor ekonomi meningkat sebanyak 7.2 peratus berbanding dengan suku tahun yang sama tahun lepas (ST1 2020: 166,000).
Peningkatan kekosongan jawatan ini adalah selari dengan prestasi ekonomi yang lebih baik, katanya.
Dalam tempoh tersebut, nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun buat pertama kalinya dengan 9.3 peratus manakala Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi bulan Mac 2021 juga telah meningkat sebanyak 9.3 peratus.
Namun demikian, bilangan kekosongan jawatan pada suku tahun ini masih belum mencapai paras normal seperti sebelum krisis yang merekodkan secara puratanya 200,000 kekosongan jawatan.
Kadar kekosongan jawatan pada suku tahun ini meningkat 0.2 mata peratus (ST1 2020: 1.9%).
Lebih separuh daripada kekosongan jawatan pada suku pertama tahun ini adalah dalam kategori separuh mahir dengan 55.5 peratus atau bersamaan dengan 98,700 kekosongan, diikuti kategori mahir 23.5 peratus (41,800) dan berkemahiran rendah 21.0 peratus (37,400).
Mengikut sektor ekonomi, kebanyakan kekosongan jawatan adalah di sektor pembuatan yang merekodkan 100,900 kekosongan jawatan (56.7%), terutamanya di subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (30,600) diikuti oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,700).
Sementara itu, kekosongan jawatan di sektor pertanian merangkumi 28,500 kekosongan jawatan (16.0%) dengan sebahagian besarnya di subsektor tanaman dan ternakan.
Terdapat sebanyak 26,800 kekosongan jawatan (15.1%) di sektor perkhidmatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit.
Mengulas lanjut kedudukan keseluruhan jawatan pada suku pertama tahun 2021, Mohd Uzir berkata, bilangan jawatan di sektor ekonomi pada suku tahun ini berkurang secara berterusan sejak empat suku tahun yang lepas kepada 8.437 juta jawatan, menurun sebanyak 1.5 peratus tahun ke tahun (ST1 2020: -2.4%).
Statistik ini menunjukkan bahawa bilangan jawatan masih rendah berbanding sebelum krisis walaupun bilangan kekosongan jawatan meningkat.
Kadar pengisian jawatan suku tahun ini kekal pada 97.9 peratus, bersamaan dengan 8.260 juta jawatan diisi.
Perincian pengisian jawatan mengikut kategori kemahiran menunjukkan kategori separuh mahir merekodkan peratus sumbangan tertinggi iaitu 62.5 peratus (5.2 juta), menurun 0.1 mata peratus (ST4 2020: 62.6%), manakala peratus sumbangan kategori mahir meningkat 0.1 mata peratus kepada 24.5 peratus (2.0 juta).
Menurut beliau, sejumlah 17,400 jawatan diwujudkan pada suku tahun ini, meningkat 4.0 peratus (+669 pewujudan jawatan) berbanding dengan suku tahun sebelumnya (16,700).
Walau bagaimanapun, berdasarkan analisis tahun ke tahun, bilangan pewujudan jawatan berkurang sebanyak 4,500 jawatan (ST1 2020: 21,900) dengan kategori mahir masih dalam trend menurun manakala kedua-dua kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah mencatatkan pertumbuhan positif.
Kebanyakan pewujudan jawatan adalah dalam kategori separuh mahir yang merangkumi 59.9 peratus atau 10,400 manakala kategori mahir 30.5 peratus (5,300).
Melihat kepada perincian mengikut aktiviti ekonomi, sektor pembuatan merekodkan komposisi terbesar iaitu 42.4 peratus atau 7,400 jawatan, diikuti oleh perkhidmatan pada 36.6 peratus (6,400 jawatan).
Sementara itu, selebihnya iaitu 21.0 peratus daripada pewujudan jawatan adalah di sektor pembinaan (16.2%), pertanian (4.3%) dan perlombongan & pengkuarian (0.5%). – MalaysiaGazette