Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie menunjukkan laporan polis ke atas Sarawak Report berkaitan menyalah guna kuasa kelulusan grant dari Sme Corp di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie hari ini mempersoalkan laporan Sarawak Report dan Malaysia Chronicle kononnya dana SME Corp diluluskan kepada syarikat isterinya  empat tahun lepas.

Syed Hamzah menegaskan, geran berjumlah RM338,950 itu diluluskan pada tahun 2017 sedangkan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan beliau mula berkhidmat dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) pada tahun lalu.

“Geran SME Corp yang diluluskan kepada syarikat isteri saya iaitu Azzahra Product Sdn Bhd tidak ada kaitan dengan Datuk Seri Wan Junaidi dan saya selaku setiausaha politiknya.

“Geran tersebut diluluskan SME Corp pada 10 Oktober 2017 manakala saya dan Datuk Seri Wan Junaidi mula berkhidmat di MEDAC pada 22 April 2020.

“Bagaiamana mungkin saya dan Datuk Seri Wan Junaidi terlibat dengan kelulusan geran pada empat tahun lepas sedangkan kami mula berkhidmat pada 2020,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Lampiran dari Sarawak Report berkaitan menyalah guna kuasa kelulusan grant dari Sme Corp membabitkan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2021.

Terdahulu beliau bersama dua peguamnya membuat laporan polis terhadap Sarawak Reports dan Malaysia Chronicle kerana menyiarkan laporan berbaur fitnah terhadap beliau dan Wan Junaidi, masing-masing pada 3 dan 5 Mei lalu.

Dalam pada itu, laporan kedua-dua portal media itu tidak berasas dan cuba memfitnahnya mempunyai kepentingan dalam syarikat Azzahra Product Sdn Bhd, sedangkan beliau telah meletakkan jawatan dan menjual sahamnya.

“Saya meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat dan melupuskan saham saya di dalam syarikat Azzahra Product Sdn Bhd pada 23 November 2015.

“Ini bermakna saya sudah tidak lagi memiliki apa-apa saham dan kepentingan di dalam syarikat tersebut sejak 2015 hingga sekarang,” jelasnya.

Susulan laporan itu, Syed Hamzah juga membuat laporan polis sama terhadap pemilik akaun Facebook Jap Zainal dan Pemangsang Sarawak Baru di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Sarawak pada 6 Mei lalu.

“Saya telah mengarahkan peguam saya di Kuala Lumpur dan Sarawak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, Malaysia Chronicle dan dua pemilik akaun Facebook di atas fitnah terhadap saya dan Datuk Seri Wan Junaidi.

“Ini termasuk menghantar notis tuntutan kepada keempat-empat pihak agar laporan itu diturunkan dan dipadam di laman sesawang serta Facebook serta memohon maaf secara terbuka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette