Anggota polis dan anggota tentera melakukan pemeriksaan kenderaan semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan 6 Daerah Selangor di Plaza Tol Bandar Bukit Raja, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun depan.

Keputusan itu dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan petang iniĀ selepas mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan trend kes-kes harian pandemik itu yang semakin meningkat, justeru langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi membendung penularan Covid-19 perlu dilaksanakan.

Menurut Muhyiddin, langkah itu juga perlu untuk menghalang peningkatan kes secara mendadak.

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, keputusan melaksanakan PKP seluruh negara juga didorong kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat.

Katanya, langkah drastik itu bertujuan mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan Covid-19.

“Rantaian jangkitan Covid-19 hanya dapat diputuskan dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah menerusi kawalan pergerakan yang lebih ketat,” katanya.

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. #KerajaanGagal
    Kenapa bila Aidilfitri baru kena PKP dan adakah jaminan 2022,2023 bila hadir Aidilfitri Tetap PKP.
    Walaupun ramai umat Islam marah dan sedih tetapi masalah covid19 memang ditakuti .
    Sampai bila perlu diketatkan kemudian longgarkan..Banyak kes melibatkan industri perkilangan tetapi masih dibiar beroperasi walaupun masih ada kes yang belum habis.
    Keadaan ini akan menyebabkan ekonomi negara akan jatuh dan sampai bila kerajaan mahu berhutang dan apakah kesan jangka panjang kepada generasi masa depan.
    Kegagalan kerajaan mengatasi masalah ini amat membimbangkan rakyat

Comments are closed.