LONDON – Edinson Cavani menyambung lagi kontrak setahun bersama Manchester United.
Perkembangan terbaharu itu menamatkan segala spekulasi yang menyelubungi bintang prolifik antarabangsa Uruguay itu di Old Trafford sejak akhir-akhir ini.
Pemain yang dikenali dengan jolokan El Matador yang dikhabarkan tidak akan menyambung kontrak di Theatre Of Dreams dan berhajat kembali ke kelab asalnya Boca Juniors.
Bagaimanapun pengurus pasukan Ole Gunnar Solskjaer berjaya memujuk pemain berusia 34 tahun itu dan akhirnya menandatangani kontrak setahun lagi untuk kekal sehingga Jun 2022.
Prestasi luar biasa Cavani yang menjaringkan lapan gol dalam tujuh penampilan terakhir termasuk aksi berbisa dalam kempen Liga Europa berjaya meyakinkan the Red Devils untuk terus komited dengan pemain itu untuk semusim lagi.
Kontrak baharu itu menawarkan Cavani dengan gaji 250,000 pound seminggu berbanding 200,000 pound sebelum ini.
Cavani dalam laman web rasmi kelab berkenaan berkata, dia telah mengikat satu hubungan yang akrab dengan kelab selama setahun lalu.
“Sejak tiba ke kelab ini, saya menerima sokongan kuat dari pengurus, rakan sepasukan sehinggalah kakitangan kelab untuk saya menyerlah dalam setiap perlawanan.
“Saya juga terharu dengan perkembangan terbaharu mengenai masa depan saya apabila jutaan penyokong kelab mahukan saya terus kekal bersama kelab elit Eropah ini.
“Saya masih belum berpeluang beraksi di hadapan penyokong setia kelab ini dan saat itu memang sangat dinantikan di Old Trafford,” katanya.
Dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa semalam, Cavani menyumbang gol ketiga pasukan untuk terus memberi tekanan dan melewatkan peluang jiran terkuatnya Manchester City daripada bergelar juara EPL lebih awal.
Cavani tiba ke Old Trafford dari Paris Saint German secara percuma tanpa ejen Oktober lalu.
“Kehadiran dan impak Cavani dalam pasukan apabila dimasukkan dalam setiap perlawanan sangat tinggi sehingga mengubah taktik serangan serta menghasilkan gol kemenangan untuk pasukan.
“Dia seorang pemain yang berpengalaman di pintu depan gol yang tidak perlu ditunjuk ajar,” kata Solskjaer.-MalaysiaGazette