KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut secara marginal 0.5 peratus pada suku tahun pertama 2021, meneruskan pemulihan dari negatif 3.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Prestasi ekonomi disokong oleh pengukuhan dalam sektor pembuatan dan pemulihan sektor pertanian.

Dari segi permintaan, trend peningkatan disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh eksport barangan dan perkhidmatan di samping penurunan kecil dalam perbelanjaan swasta dan pelaburan aset tetap.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan prestasi KDNK bulanan, Januari dan Februari masing-masing mencatatkan penurunan 3.5 peratus dan 3.6 peratus dan pengukuhan pada Mac 2021 kepada 6.0 peratus.

Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, KDNK mencatatkan pemulihan kepada 2.7 peratus (ST4 2020: -1.5%) pada suku tahun ini.

Pemulihan berperingkat ekonomi Malaysia dipengaruhi oleh pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang lebih longgar berbanding PKP yang dilaksanakan pada tahun lalu serta mendapat manfaat daripada pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan dalam memperkasa pemulihan ekonomi.

Ekonomi juga didorong oleh peningkatan perbelanjaan bolehguna rakyat kesan pengeluaran i-Sinar, i-Lestari dan peningkatan harga komoditi kelapa sawit dan getah.

Beliau berkata, sektor pembuatan meningkat 6.6 peratus pada suku tahun pertama 2021 berbanding 3.0 peratus pada suku keempat 2020 didorong oleh Produk elektrik, elektronik & optikal (10.6%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (7.3%).

Pertumbuhan memberangsangkan produk elektrik, elektronik & optikal disebabkan oleh permintaan tinggi mikrocip peranti elektronik.

Sementara itu, peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan bertumbuh 8.1 peratus berbanding 6.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan positif yang berterusan disumbangkan oleh industri berasaskan eksport yang bertumbuh 7.2 peratus (ST4 2020: 3.4%) seiring dengan prestasi keseluruhan eksport yang mencatatkan pertumbuhan dua-digit 18.2 peratus pada suku tahun pertama 2021.

Di samping itu, prestasi industri berorientasikan domestik meningkat 5.3 peratus (ST4 2020: 2.4%) pada suku tahun ini.

Sektor pertanian bertumbuh marginal 0.4 peratus, pulih dari negatif 1.0 peratus pada suku tahun keempat 2020 disokong oleh prestasi lebih baik bagi Pertanian lain pada 5.7 peratus (ST4 2020: 3.6%) dan ternakan yang meningkat 3.5 peratus (ST4 2020: 2.9%).

Sementara itu, perhutanan & pembalakan kembali pulih kepada pertumbuhan dua-digit 11.5 peratus (ST4 2020: -9.2%) sektor Perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK Malaysia menyusut 2.3 peratus dari penurunan 4.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Penyusutan yang lebih perlahan disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit yang memulih secara sederhana pada 1.2 peratus (ST4 2020 -1.4%) pada suku tahun pertama 2021.

Selain itu, subsektor kewangan dan insurans; dan maklumat dan komunikasi masing-masing terus meningkat 11.3 peratus dan 6.3 peratus.

Walau bagaimanapun, sektor perkhidmatan kekal bertumbuh negatif disebabkan oleh makanan & minuman dan penginapan yang merosot 29.8 peratus (ST4 2020: -35.3%), bertumbuh lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan dalam subsektor makanan & minuman dan penginapan disebabkan oleh kelonggaran PKP 2.0
yang mana tempoh operasi restoran dilanjutkan dan kebenaran makan di kedai serta rentas negeri bagi negeri PKPP bagi menggalakkan aktiviti pelancongan domestik.

Di samping itu, subsektor pengangkutan dan penyimpanan menyusut 16.2 peratus (ST4 2020: -23.0%) dipengaruhi oleh penyusutan dalam semua segmen kecuali pos dan kurier yang merekodkan pertumbuhan dua-digit ekoran daripada peningkatan pembelian atas talian semasa PKP 2.0.

Sektor perlombongan dan pengkuarian bertumbuh negatif 5.0 peratus dari penurunan 10.4 peratus pada suku tahun keempat 2020.

Prestasi sektor ini sebahagian besarnya disokong oleh pemulihan pengeluaran gas asli 0.3 peratus (ST4 2020: -9.9%)
dan Minyak mentah & kondensat pada negatif 11.5 peratus (ST4 2020: -12.9).

Sektor pembinaan merosot 10.4 peratus, pertumbuhan lebih baik dari negatif 13.9 peratus pada suku tahun sebelumnya. Ini disumbangkan oleh penyusutan perlahan dalam bangunan kediaman, bangunan bukan kediaman dan kejuruteraan awam.

Sebaliknya, aktiviti pembinaan khas berkembang 16.9 peratus (ST4 2020: 9.4%).

Ketua Perangkawan menjelaskan semua komponen perbelanjaan menunjukkan tanda pemulihan. dipacu oleh eksport dan import yang pulih kepada pertumbuhan dua-digit disokong oleh peningkatan dalam barangan.

Sementara itu, eksport perkhidmatan terus merosot ekoran sempadan negara masih ditutup bagi aktiviti pelancongan.

Perbelanjaan penggunaan akhir swasta yang merupakan penyumbang terbesar kepada komponen permintaan, merekodkan penurunan yang lebih kecil 1.5 peratus (ST4 2020 -3.5%) dipengaruhi oleh perbelanjaan keperluan utama seperti makanan & minuman bukan alkohol, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan
komunikasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast