KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM), melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) berjaya menyelesaikan isu tuntutan pengiktirafan
dan perjanjian kolektif yang berlarutan selama 10 tahun antara RHB Bank Berhad dan Kesatuan Eksekutif RHB Bank Berhad.
Isu tuntutan pengiktirafan dan perjanjian kolektif antara RHB Bank Berhad dan Kesatuan Eksekutif RHB Bank Berhad telah bermula sejak tahun 2011 dan berlanjutan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penyelesaian ini dipersetujui menerusi satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (Memorandum of Understanding (MoU) yang berlangsung semalam setelah majikan dan kesatuan melalui beberapa siri perundingan yang turut dihadiri oleh wakil daripada JPPM.
“KSM berharap penyelesaian tuntutan oleh Kesatuan Eksekutif RHB Bank Berhad ini menjadi contoh terbaik kepada semua majikan dan kesatuan dalam
mencari penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menyeru majikan dan kesatuan dapat menjalinkan kerjasama
yang baik dalam mencapai persefahaman seterusnya dapat meningkatkan produktiviti serta perhubungan perusahaan yang harmoni di tempat kerja. – MalaysiaGazette