Juventus berdepan penyingkiran dari Serie A Itali jika tidak meninggalkan projek ESL dengan kadar segera.

ROM – ”Bersedia ditendang keluar dari Liga Serie A Itali jika masih berdegil dan enggan meninggalkan projek kontroversi Liga Super Europa (ESL) serta merta”.

Itu amaran tegas yang hadir daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Itali kepada the Old Lady hari ini.

Gabriele Gravina menegaskan AC Milan dan Inter Milan telah pun menarik diri dari liga kontroversi yang menerima kecaman di seluruh Eropah namun Juventus dikatakan masih keras kepala dan belum meninggalkan ESL.

“Peraturannya sangat jelas, jika Juventus masih bersama Liga Super Europa, kelab itu akan dihalang dan ditendang keluar daripada bersaing dalam Serie A Itali musim hadapan.

“Saya minta maaf kepada para penyokong tetapi peraturan tetap peraturan dan diguna pakai untuk semua tanpa kompromi,” kata Gravina kepada sebuah stesen radio tempatan,Kiss Kiss.

Manakala dua kelab gergasi la Liga Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona masih berada dengan projek ESL walaupun berdepan risiko tinggi digantung daripada menyertai Liga Juara-Juara Eropah.

“Saya berharap kelab berkenaan memahami situasi semasa dan memberi kerjasama mengelak keadaan bertambah lebih keruh dan membawa tempias kepada penyokong,” tambah Gravina lagi.

Selepas projek ESL diumumkan tiga minggu lalu enam kelab elit Liga Perdana Inggeris turut menyertainya iiaitu Manchester City, Arsenal, Manchester United, Chelsea, Liverpool dan Tottenham Hotspur.

Namun tidak sampai 48 jam selepas pengumuman itu, kesemua kelab berkenaan menarik diri setelah dikecam hebat dan dibantah oleh para penyokong setia mereka dan memohon maaf secara terbuka.-MalaysiaGazette