Juventus masih mengharapkan Pirlo membawa keajaiban untuk membawa Juventus layak ke kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

ROM – Juventus tidak mempunyai perancangan untuk memecat pengurus kelabnya Andre Pirlo sebelum akhir musim Serie A Itali kali ini.

Akhbar tempatan di Italu mula melaporkan secara meluas, Pirlo berdepan tindakan dipecat oleh kelabnya selepas Juventus kalah teruk di tangan AC Milan di halaman sendiri.

Malah keputusan Serie A itu semalam menyaksikan Juventus terkeluar dari kelompok pasukan empat teratas carta liga, sekali gus menambah risiko untuk hilang kelayakan mara ke kempen Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

The Old Lady yang mengungguli carta liga sebagai juara Serie A selama sembilan musim sejak 2010 akhirnya menyerahkan gelarannya itu kepada Inter Milan kendalian Antonio Conte Sabtu lalu.

Juventus dalam kenyataan rasmi menyatakan bahawa pihaknya tiada perancangan untuk memutuskan masa depan Pirlo sebelum akhir musim ini.

Pirlo tidak akan dipecat dan masih akan bertugas untuk aksi berdepan Sassuolo.

Juventus menduduki tangga kelima dalam liga dengan perbezaan tiga mata di belakang Milan dan Atalanta.

Kini Pirlo diletakkan harapan untuk merekodkan kemenangan dalam baki tiga perlawanan sebelum kempen menutup tirai bagi mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Malah Pirlo juga menegaskan dia tidak akan tunduk dengan desakan dan kritikan akhbar tempatan yang mahunya berundur.

“Tidak… saya tidak akan berundur dan tidak ada keperluan untuk saya berbuat demikian kerana saya mengambil tanggungjawab ini dengan penuh keazaman dan bersemangat di sebalik cabaran yang teruk.

“Saya masih ada baki tiga perlawanan lagi untuk menamatkan saingan musim ini dan perlu fokus untuk perlawanan akan datang.

“Saya mempunyai projek dan perancangan pembangunan lain untuk pasukan ini dan memerlukan beberapa perubahan supaya pelan dan idea saya sebati dalam kelab ini untuk bangkit digeruni semula pada musim depan,” katanya.-MalaysiaGazette