Biarpun pelbagai juadah istimewa Aidilfitri seperti ketupat, kuah kacang, rendang dan lodeh dihidangkan namun pulut yang dimasak di dalam kelongsong periuk kera sudah pasti mencuri tumpuan tetamu yang datang berkunjung.
Justeru tidak dapat dinafikan lemang periuk kera kini semakin popular dan menjadi antara menu istimewa di pagi Syawal.
Bagi pengusaha Lemang Periuk Kera Ampang, Noor Ashraf Mashal Khan, 45, dia tidak menyangka keunikan lemang yang diperkenalkan sejak tahun 2017 itu semakin mendapat tempat di hati pelanggan.
“Saya dan isteri, Roziefa Abu Bakar memulakan perniagaan menjual lemang buluh sejak tahun 2009 lagi dan kira-kira empat tahun lalu baru lah kami mula buat lemang periuk kera.
“Memang tak sangka sambutan begitu menggalakkan diterima daripada pelanggan setiap tahun kerana lemang periuk kera yang kami sediakan memang istimewa kerana kepala santan yang tebal serta rasanya yang lemak masin,” katanya.
Jelas Noor Ashraf, kelongsong periuk kera yang dibeli dari orang Asli di negeri Pahang itu boleh bertahan kira-kira dua minggu jika disimpan dengan elok dan terhindar dari cuaca yang panas.
Berkongsi mengenai keenakan lemang periuk kera, Noor Ashraf berkata, bahan yang perlu diberi keutamaan adalah perahan santan kelapa muda yang tidak dicampur dengan air.
Jelas Noor Ashraf, santan yang dicampur dengan kuantiti air yang terlalu banyak boleh menjejaskan tekstur lemang serta kelongsong periuk kera akan melekat pada pulut apabila siap dikukus.
“Bahan-bahan yang kita gunakan sudah tentu pulut susu, susu cair dan campuran garam secukup rasa.
“Menjelang hari raya kita boleh jual sehingga 2,000 biji dan sehingga tamat bulan Syawal pula kebiasannya kira-kira 10,000 biji,” ujarnya.
Menurut Noor Ashraf, sekilogram lemang periuk kera dijual pada harga RM35 manakala setengah kilo pula RM20 selain turut dipek bersama rendang daging.