GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, varian koronavirus yang pertama kali dikesan di India tahun lalu diklasifikasikan sebagai varian kebimbangan global, dengan beberapa kajian awal menunjukkan ia menular dengan lebih mudah.
Varian B1617 adalah varian keempat yang ditetapkan sebagai kebimbangan global dan memerlukan pengesanan dan analisis yang lebih tinggi.
Yang lain adalah varian yang pertama kali dikesan di Britain, Afrika Selatan dan Brazil.
“Kami mengklasifikasikan ini sebagai varian peringkat kebimbangan global.
“Ada beberapa maklumat yang tersedia untuk menunjukkan peningkatan penularan,” kata Maria Van Kerkhove, Ketua Teknikal WHO semasa taklinat CovidD-19.
Kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di India terus meningkat dan desakan meminta kerajaan supaya melaksanakan sekatan pergerakan semakin meningkat.
WHO berkata, varian utama B1617 pertama kali dikenal pasti di India pada bulan Disember, walaupun versi sebelumnya pernah ditemui pada Oktober 2020
Varian ini telah menyebar ke negara-negara lain dan banyak negari telah melaksanakan peritah sekatan pergerakan.
“Walaupun terdapat peningkatan penularan yang ditunjukkan oleh beberapa kajian awal, kami memerlukan lebih banyak maklumat mengenai varian virus ini dan asal usul dan semua sub-keturunannya,” katanya.
Ketua Saintis WHO, Soumya Swaminathan memberitahu, kajian sedang dilakukan di India untuk mengenal pasti kebolehterjadian varian, keparahan penyakit yang disebabkannya dan tindak balas antibodi pada individu yang sudah divaksinasi.
“Apa yang kita ketahui sekarang ialah vaksin berfungsi, diagnostik berfungsi, rawatan yang sama yang digunakan untuk virus biasa berfungsi, jadi sebenarnya tidak perlu mengubah semua itu,” kata Swaminathan. – MalaysiaGazette