Fizz Fairuz scam DBKL tender contract Datuk Seri
ACP Beh Eng Lai

KUALA LUMPUR – Polis Sentul telah mengeluarkan 144 kompaun atas pelbagai kesalahan membabitkan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daereah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, tindakan itu dilaksanakan menerusi operasi bersepadu Covid-19 pasukannya bersama agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan.

Katanya, seramai 140 orang petugas Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)  terlibat dalam operasi bersepadu pada Isnin dan Selasa itu.

“Objektif utama operasi bersepadu ini dilaksanakan bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam berkenaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia bagi bersama–sama membendung penularan penyakit berjangkit Covid-19.

“Hasil Operasi Bersepadu yang dijalankan, seramai 4,883 orang dan 912 premis telah diperiksa dan sebanyak 144 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan kerana tidak mematuhi SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, antara kesalahan yang dikenalpasti dan diambil tindakan adalah tidak mengimbas kod QR MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka.

Menurutnya, dalam operasi sama, sebanyak 32 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Imigresen 1959 Pindaan 2002.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP PKP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia bagi bersama–sama memutuskan rantaian penularan Pandemik Covid-19 ini,” tegasnya.