WASHINGTON –  Palestin dan Israel sedang menuju ke arah peperangan pada skala yang besar, kata Envoi Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk proses keamanan Timur Tengah.

“Berhenti tembakan serta merta. Kamu mempercepatkan peperangan berskala besar. Pemimpin-pemimpin semua pihak perlu mengambil tanggungjawab memperlahankannya,” kata Tor Wennesland dalam akaun Twitter.

“Kesan peperangan di Gaza menyebabkan kehancuran dan orang awam menerima akibatnya. PBB sedang bekerjasama dengan semua pihak untuk memulihkan ketenteraman. Berhenti keganasan sekarang,” katanya.

Amaran beliau dikeluarkan selepas pesawat Israel melancarkan serangan ke atas Gaza yang dikenali operasi ‘ Guardians of the Wall’ pada lewat Isnin lalu

Jumlah kematian penduduk Palestin yang dilakukan tentera Israel sejak bermula serangan di Gaza meningkat kepada 30 orang, termasuk 10 kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Semalam, kementerian tersebut berkata, bilangan mereka yang tercedera meningkat kepada 203 orang.

Tiga warga Israel turut terbunuh dan 31 lagi cedera dalam serangan roket yang dilakukan Palestin.

Israel menceroboh timur Baitulmaqdis semasa perang Arab-Israel pada 1967 dan memperluaskan pencerobohan itu kepada keseluruhan bandar tersebut pada 1980, tindakan tang tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa. – MalaysiaGazette