Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat telekomunikasi sepakat untuk menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara mulai pukul 10 malam pada 12 Mei hingga pukul 10 pagi pada 13 Mei 2021, iaitu hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Kemudahan yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat dinikmati semua pelanggan Celcom, Digi, Maxis, REDtone, TM Unifi, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile dan Yoodo YTL

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma  tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.

“Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan
tentang tawaran perkhidmatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berharap kemudahan ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia untuk terus saling berhubung dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga serta rakan taulan walaupun aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjungi tidak
dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa mulai 12 Mei 2021 hingga 7 Jun ini.