Foto Arkib

KUALA LUMPUR – Pegawai Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) di Pelabuhan Kansas City, Missouri merampas 4.68 juta sarung tangan getah yang dibuat oleh anak syarikat Top Glove Corporation Bhd.

CBP berkata, anggaran nilai penghantaran itu sebanyak AS$690,000 (RM2.85 juta).

“Pegawai CBP merampas penghantaran itu berikutan maklumat menunjukkan bahawa sarung tangan tersebut telah dibuat oleh buruh paksa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pengarah Pelabuhan Kansas City Steven Ellis berkata, berdasarkan rampasan itu dibuat di kawasan tengah Amerika, ia menunjukkan import yang didakwa dihasilkan oleh buruh paksa memberi kesan kepada semua orang di seluruh negara.

“CBP tidak akan bertolak ansur dengan buruh paksa dalam rantaian bekalan AS,” katanya.

Pada 29 Mac lepas, CBP berkata, pihaknya telah mengarahkan kakitangan di semua pelabuhan masuk di AS untuk mula merampas sarung tangan pakai buang yang dihasilkan di Malaysia oleh Top Glove.

“Penghantaran di Kansas City dirampas selepas pemeriksaan oleh pegawai CBP menunjukkan sarung tangan itu telah dihasilkan di Malaysia oleh sebuah anak syarikat Top Glove,” katanya.

Pada 29 Mac lepas, CBP telah mengeluarkan dapatan mengenai buruh paksa berdasarkan bukti yang didakwa mempunyai banyak petunjuk buruh paksa dalam proses pengeluaran Top Glove, termasuk ikatan hutang, kerja lebih masa yang melampau, melanggar syarat persekitaran tempat kerja dan tempat tinggal serta penahanan dokumen pengenalan diri. – Bernama

1 Komen

  1. Ini semua alasan AS sahaja. Kalau camni baik Malaysia jangan supply terus ke AS. Biar diorg merangkak cari bekalan glove dari negara lain.

Comments are closed.