PETALING JAYA – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menyerahkan kepada polis Sarawak untuk menjalankan siasatan berkenaan dakwaan salah laku dan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, setakat ini pihaknya masih belum memanggil pegawai terbabit namun perkembangan kes itu sentiasa dipantau.
“Kita pantau dari jauh dan minta (polis) Sarawak menyiasat perkara ini untuk mengumpul segala maklumat asas yang berkaitan dan selepas itu baru kita akan ke sana untuk buat siasatan lebih menyeluruh.
“Belum lagi (direhatkan) kerana belum terbukti kesalahan itu cuma kita akan menyiasat dan kumpul semua bukti yang ada.
“Sekiranya ada salah laku jadi kita akan mengambil tindakan termasuk merehatkan beliau daripada tugas di sana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di Plaza Tol Kota Damansara hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Zamri berkata, dakwaan-dakwaan bersifat sedemikian boleh mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dakwaan yang viral mengatakan pegawai berkenaan terkait dengan tauke judi, penyeludupan, jadi dia banyak bergaul dengan individu seperti itu dan banyak menimbulkan rasa tidak puas hati pihak-pihak di negeri berkenaan.
“Sepatutnya sebagai seorang pegawai tertinggi PDRM lebih menjaga tata kelakuan dan tidak bercampur dengan orang yang mempunyai latar belakang meragukan,” ujarnya.
Pada 10 Mei lalu, polis dilaporkan yakin dapat menjejaki individu yang menggunakan akaun Facebook palsu untuk menfitnah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Fisol Salleh dengan mendakwa beliau melindungi sindiket kongsi gelap di negeri itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Lukas Aket berkata, polis akan menjejakl suspek dengan pelbagai kaedah termasuk menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) walaupun suspek menggunakan nama samaran serta akaun palsu.
Katanya, hasil siasatan awal, polis telah mengenal pasti semua individu yang terdapat dalam hantaran yang dimuat naik oleh suspek dalam Facebook tersebut.
Sebelum ini satu perkongsian mengenai pegawai kanan polis itu tular di Facebook yang mendakwa beliau menjadi pelindung utama sindiket perjudian, penyeludupan dan kongsi gelap di negeri itu. – MalaysiaGazette