IPOH – Seorang lelaki menemui ajal pada malam Aidilfitri apabila tong gas meletup di sebuah bengkel rumah di Jalan Parit Amerikan, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis tengah malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian menimpa mangsa berusia lingkungan lewat 20-an itu pada 12.01 tengah malam.
“Kami segera mengerahkan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat sebaik menerima panggilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, ketika kejadian mangsa berada seorang diri di bengkel itu dan disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan komander operasi supaya membuat kerja pemantauan dan menutup semua injap tabung seterusnya memastikan tiada bahan berbahaya di kawasan berkenaan dan operasi tamat pada 1.24 pagi,” katanya.
— BERNAMA