Gambar hiasan

SEKATAN perjalanan untuk pulang ke kampung di Aidilfitri ini mengingatkan saya akan peri perlunya kita hidup dalam doa restu ayah bonda. Saya sempat menghadiri majlis pembukaan sebuah cawangan syarikat anak muda Muslim sebelum Perintah Kawalan Pergerakan. Berbeza sangat daripada majlis korporat yang lain, majlis perasmian cawangan baharu tersebut sesungguhnya meninggalkan kesan yang bukan sedikit kepada saya dan para tetamu yang menghadirinya. Majlis tersebut menjadikan ibu kepada pemilik syarikat berkenaan sebagai tetamu utama seterusnya merasmikan majlis
tersebut mendahului VVIP yang lain.

Protokol menyambut kedatangan ibu tersebut disusun meriah dan tidaklah terkurang sedikitpun sebagaimana aturcara menyambut kehadiran seorang menteri. Saya dimaklumkan ibu yang agak berusia tersebut dahulunya adalah seorang yang mengambil upah mencuci kain di rumah orang dan hari ini berkat ketabahannya beliau sempat melihat kejayaan anaknya dalam dunia perniagaan. Begitulah ramai jemputan bukan Islam hadir dan dengan khusyuk mereka kelihatannya meraikan kisah kejayaan syarikat tersebut. Barulah saya sedar maksud umat Islam yang kuat lebih baik dari umat Islam
yang lemah.

Di sepanjang majlis kerap sekali didengar akan pengajaran dari al-Quran dan restu ibu sebagai manifestasi penghormatan mereka terhadap dua faktor tersebut. Kami juga dimaklumkan bahawa menjadi peraturan syarikat bahawa setiap warga kerjanya yang berkewajipan untuk menunaikan solat diwajibkan menunaikan solat apabila selesai azan dilaungkan di surau syarikat tersebut tanpa penangguhan.

Sebaik majlis tersebut melabuhkan tirainya, para tetamu yang hadir termasuklah yang bukan Islam mengucapkan tahniah kepada pengurusan syarikat atas kejayaan mereka
mencipta nama dalam bidang perniagaan tersebut. Ada tetamu bukan Melayu ini merujuk pemilik syarikat tersebut sebagai “Bos” dan “Tuan”, gelaran yang mudah sangat difahami maksudnya. Terus sahaja terfikir di dalam minda saya bahawa untuk meletakkan agama Islam ditempat yang mulia dan dihormati oleh semua orang kita sebenarnya tiada banyak
pilihan, kita perlu berjaya menguasai sesuatu bidang kerana hanya dengan kejayaan itulah penghormatan manusia akan hadir dengan sendirinya lalu tunduk kepada kita.

Tentunya ucapan tahniah daripada tetamu bukan Islam itu bukanlah pengiktirafan terhadap ajaran agama Islam tetapi sekurang-kurangnya mereka meninggalkan majlis tersebut dengan menyedari rapatnya hubungkait antara doa restu ibu, prinsip al-quran dengan ahli korporat yang berjaya dan tidaklah orang Melayu dan agama Islam hanya relevan untuk orang yang miskin, layu dan malas. Apabila kita benar berjaya dan
menjuarai pasaran dalam segmen kehidupan yang kita kuasai, barulah orang
lain mahu menyingkap rahsia kejayaan kita.

Hari ini kedudukan agama Islam dan orang Melayu masih lagi dipertahankan oleh pemerintah melalui peruntukan perundangan. Perlu diakui bahawa berselindung disebalik kuasa perundangan tidaklah selamanya boleh menjamin kelestarian bangsa dan agama kita. Tanpa disedari, imuniti undang-undang akan menjadikan kita dilihat sebagai
bangsa yang begitu lemah dan kurang upaya. Jika kita memilih untuk menguatkuasakan pelbagai undang-undang bagi meningkatkan martabat agama Islam maka kita secara tak langsung akan membangkitkan rasa muak orang bangsa lain terhadap agama Islam dan menjadikan masyarakat tidak tertarik langsung untuk mendekati agama Islam.

Kuasa undang-undang mungkin boleh menggaris pandukan dan melindungi agama Islam dan orang Melayu hingga ke tahap tertentu sahaja. Tanah Rizab Melayu, rumah kuota Bumiputera, Majlis Agama Islam Negeri adalah sebahagian daripada perundangan yang digubal untuk memberi punca kuasa kepada orang Islam di negara kita. Namun begitu sehingga tahap atau tempoh waktu tertentu, peruntukan perundangan pun tidak lagi mampu menangani pengaruh dan kesan cengkaman kuasa ekonomi yang tidak
dimiliki oleh orang Melayu.

Penguasaan terhadap ekonomi dan bidang-bidang keilmuan adalah jalan pilihan bagi membangkitkan keindahan agama Islam secara lebih bermaruah. Kuasa ekonomi ini boleh sahaja melebarkan pengaruhnya lalu melenyapkan sedikit demi sedikit kuasa
perundangan hingga perundangan itu pula akhirnya dilihat tidak lagi menjadi relevan. Kalaulah pengaruh kuasa ekonomi itu dapat digambarkan sebagai virus Covid 19, maka virus itu jika tidak ditangani boleh merebak dan menelan terus sistem antibodi tubuh manusia hingga tubuh kita tidak mampu lagi bertahan apatah lagi melawannya.

Sungguhpun agama Islam adalah agama Persekutuan, terdapat banyak keadaan di mana umat Islam terpaksa menerima hakikat bahawa ekslusiviti “Religion of the Federation” tersebut tidak dapat dijelmakan dalam semua keadaan akibat kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Bukanlah sukar untuk melihat keadaan bilik-bilik solat yang diwujudkan oleh pihak-pihak pengurusan sesebuah pusat riadah atau pusat membeli belah yang tidak lain hanya sekadar untuk mematuhi syarat yang ditetapkan pihak
berkuasa tempatan. Terkadang surau yang disediakan hampir sangat menyerupai rumah mayat yang beralaskan tikar getah using.

Dalam senario yang lain, kita juga boleh meletakkan apa pun jua syarat perundangan berkaitan penjualan rumah kuota Bumiputera kepada para pemaju tetapi syarat tersebut boleh sahaja dimanipulasi dengan mudah oleh pemaju dengan alasan tiada pembeli Bumiputera yang berminat. Malahan hari ini telah wujud projek-projek di kawasan tertentu dimana tiada lagi sekatan bagi bukan warganegara untuk memiliki hartanah di negara kita dan orang-orang Melayu akan seperti lazimnya menjadi pemerhati atau
pengkritik kedai kopi terhadap pembangunan tersebut. Jerit atau demonstrasilah  sebanyak mana pun namun ianya tidak mampu memberikan apa-apa impak yang berkesan terhadap maruah orang Melayu.

Hari ini bukanlah zaman di mana Perlembagaan Persekutuan dipatuhi peruntukannya tanpa soal. Kita sedang melalui suatu fasa dimana banyak pihak telah mula mempertikaikan sedikit keistimewaan yang diterima oleh orang Islam dalam negara kita. Sementara mengakui akan kepentingan dan sumbangan perundangan bagi melindungi kesucian agama Islam kita juga hendaklah segera menyedari bahawa kita kini berada pada zaman dimana kekuatan ekonomi menjadi faktor teras yang mempengaruhi corak
dan gaya kehidupan masyarakat. Bukanlah mudah untuk kita meminta orang bukan Islam menghormati martabat agama Islam sebagai agama Persekutuan hanya dengan penggubalan sesuatu akta atau enakmen jika kita sendiri tidak mampu memperlihatkan dalam kehidupan seharian ciri-ciri gemilang yang ada pada agama Islam.

Pada akhir majlis tersebut saya meminta diri untuk beredar dengan keinsafan baharu akan keperluan meletakkan redha dan restu ibu bapa ditempat yang utama. Rupa-rupanya restu ibu adalah ibarat wahyu yang perlu dipatuhi sambil mengambil iktibar bahawa tanggungjawab untuk memperbaiki imej orang Melayu dan agama Islam bukan hanya tanggungjawab pemerintah tetapi patut dipikul oleh kita semua. Seorang tetamu menyatakan kepada saya pentingnya kita melahirkan masyarakat peniaga dan pedagang Muslim sambil berbisik bahawa kita di Malaysia pun hari ini dapat menerima hidayah Allah dan agama Islam atas sumbangan dan usaha para pedagang dan peniaga yang merantau berlayar jauh ke negara kita untuk berniaga dan menyampaikan seruan agama Allah. Aidilfitri ini ramai yang tidak dapat bersua secara fizikal dengan ayah dan bonda namun restu ayah bonda tetap boleh diraih dengan kecanggihan tekonologi hari ini.

Pohonlah restu mereka supaya kehidupan akan menjadi bermakna.

 

Oleh: Dato’ Ikbal Salam
Peguambela & Peguamcara
Johor Bahru

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Naikkan cukai ke atas bukan pribumi atau tendang keluar tanah milik bukan pribumi dari Malaysia macam Singapore dan Penang menyusul. Syabas Azeris ambil balik Nagorno-Karabah. Syabas Palestine enggan tendang keluar Baitulmaqdis dari Palestine untuk bangsa Yahudi dari Israel berbanding Malaysia tendang keluar Singapore dari Malaysia untuk bangsa-bangsa asing dari Tanah Besar China dan India. Negara kecil DR ratifikasi ICERD tetapi sila Google: Dominican Republic stripped citizens

Comments are closed.