SEREMBAN – Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini menukar fungsi beberapa buah wad biasa kepada semi-wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampung peningkatan kes pesakit COVID-19 yang kritikal dan memerlukan mesin bantuan pernafasan di negeri ini.
Exco Kesihatan negeri S.Veerapan berkata, langkah itu diambil berikutan katil di wad ICU hospital berkenaan hampir penuh.
Buat masa ini, terdapat dua hospital COVID-19 di Negeri Sembilan iaitu HTJ dan Hospital Tampin.
Menurutnya, setakat ini kedua-dua hospital berkenaan menggunakan mesin bantuan pernafasan sedia ada dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah memohon mesin tambahan daripada Kementerian Kesihatan.
Veerapan turut memaklumkan Hospital Rembau kini tidak lagi menempatkan pesakit COVID-19, sebaliknya hanya merawat pesakit biasa.