File picture

KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita ditemui terapung perangkap sampah di dalam sungai di belakang Kompleks Damai, Batu 3, jalan Ipoh di sini.

Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur telah menerima panggilan susulan penemuan mayat itu pada jam 11.42 pagi tadi.

Serentak itu, pasukan operasi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dengan sebuah jentera bomba (FRT) serta dan Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) telah dihantar ke tempat kejadian.

Sembilan anggota yang tiba ke lokasi mendapati ada mayat terapung pada perangkap sampah di sungai tersebut.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Fadil Hesam Mohamed berkata,  mayat berkenaan dinaikkan pada jam 1.04 petang tadi.

Hasil pemeriksaan awal, didapati mayat tersebut adalah seorang wanita dewasa.

Identiti mangsa masih belum dapat dikenalpasti lagi.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata,polis menerima aduan orang awam yang ternampak mayat terapung di Sungai Batu, Batu 3 Jalan Ipoh sekitar jam 10.30 pagi tadi.

Mayat wanita tempatan itu berusia 30-an terapung dalam keadaan berkembung dan bengkak tanpa pakaian dan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati mayat tersebut berada dalam keadaan terapung di permukaan air dan terperangkap dengan sampah sarap.

“Forensik Kuala Lumpur juga hadir di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Memandangkan mayat tersebut terapung di permukaan air, kerja-kerja mengangkat keluar mayat tersebut telah dibantu oleh pihak bomba dari Balai Bomba Sentul dan dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis Kuala Lumpur menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206 atau pegawai penyiasat Sarjan Omar Sharib di talian 03-40482226,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast