JOHOR BAHRU – Seorang warga Malaysia yang terkandas di Singapura susulan penutupan Tambak Johor ekoran penularan Covid-19 sedih dan sayu kerana tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarga.

Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 35, berkata, tahun ini merupakan dua tahun tidak bersama dengan keluarganya untuk menyambut Aidilfitri.

Beliau yang mencari rezeki di Singapura mengakui ada kadangkala dia putus harapan untuk melihat laluan berkenaan dibuka seperti biasa.

“Bagi kami yang terkandas di sini memang realistik, kami sudah tahu yang kes Covid-19 menyebabkan tambak tidak akan buka.

“Setiap kali ada berita pertemuan Menteri Singapura dan Malaysia, kami memang berharap (tambak dibuka) tapi kadang-kadang tak mampu berharap lagi.

“Jadi kami di sini cuma mampu berdoa sahaja, semoga ada keajaiban berlaku supaya kami dapat pulang,” katanya kepada MalaysiaGazette melalui pesanan video.

Ketika ditanya sambutan Hari Raya ini, beliau berkata, dia sempat memesan kepada isteri supaya membeli baju rayanya sedondon kerana masih berharap pulang untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama.

Norhariyanti Abu Bakar sedondon menyambut Aidilfitri bersama dua cahaya matanya, Hanan Inara (2 tahun) dan Harraz Daniel Helmy (1 tahun 4 bulan).

“Saya telah pesan dengan isteri supaya beli baju sedondon dengan anak-anak tetapi dari tahun lepas sampai sekarang saya belum dapat pakai baju tu.

“Isteri cuma gantung di almari dan mereka bergambar dengan anak-anak pakai baju mereka, sedihlah,” katanya yang memiliki sepasang anak.

Shahruddin berkata, beliau hampir 11 tahun berkahwin dan selepas sembilan tahun menanti, dia dan pasangannya dikurniakan cahaya mata.

Jadi, menyambut hari raya tanpa anak-anak adalah satu kesedihan mendalam buatnya.

Beliau yang sudah 11 tahun mencari rezeki di Singapura dengan sebuah syarikat minuman memberitahu, kos yang terlalu tinggi untuk pulang ke Malaysia menjadikan beliau tekad untuk terus bekerja di sana.

“Tak termasuk cuti tanpa gaji yang perlu diambil sepanjang tempoh 35 hari kuarantin dan cuti yang diambil ketika di Malaysia.

“Kalau balik Malaysia sekarang pun sukar, lebih-lebih lagi PKP untuk mendapat kerja dan gaji yang saya dapat sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati Tambak Johor yang disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia, kian lenggang dan sepi.

Sebelum tahun lalu, laluan keluar masuk di situ sentiasa sesak lebih-lebih lagi pada musim perayaan menyebabkan pengguna perlu mengambil masa hampir satu jam perjalanan untuk melepasi tambak tersebut.

Seberang Tambak Johor yang dahulunya sesak kini sepi.

Tambak Johor sepanjang 1.05 kilometer itu menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura, dibina pada tahun 1923.

Ia digunakan oleh 70 peratus pelancong dan pelawat untuk memasuki Malaysia sehingga  disenaraikan sebagai laluan darat paling sibuk di dunia.

Tambak ini juga menjadi pintu masuk laluan darat utama Malaysia-Singapura, selain laluan kedua di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB)

Dianggarkan kira-kira 250,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik menerusi Tambak Johor setiap hari.

Pemandangan penunggang motosikal beratur sambil menunggu memasuki republik itu adalah rutin harian tambak berkenaan sebelum meletusnya pandemik Covid-19.

Tambak itu juga memudahkan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia  mencari nafkah di Singapura dengan hampir 200,000 daripadanya berulang-alik antara Johor Bahru ke negara itu setiap hari menaiki motosikal dengan majoritinya keluar-masuk ke republik berkenaan menerusi Tambak Johor.

Namun tambak itu ditutup sejak Mac lalu bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast