BUTTERWORTH – Setiap kali menjelang lebaran, pemandu bas ekspres antara golongan yang paling sibuk namun situasi itu kini berubah apabila negara berdepan wabak pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Rata-rata pemandu bas yang ditemui melahirkan merindui suasana mengejar ‘trip’ (perjalanan) dari satu negeri ke negeri lain demi memastikan anak perantauan pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari raya bersama keluarga tercinta.
Menurut Muhamad Asif Abd Aziz,46, kebiasaanya dia mampu melakukan dua hingga tiga perjalanan sehari menjelang musim perayaan Aidilfitri walaupun terpaksa menempuh kesesakan jalan raya khususnya di semua lebuh raya utama negara.
Jelas pemandu itu, pemanduan dari Kuala Perlis menuju Kemaman,Terengganu sudah menjadi ‘makanan’ buat dirinya susulan hampir 14 tahun dia melalui perjalanan di destinasi tersebut.
“Bagaimanapun semua itu kini menjadi kenangan apabila hampir setahun saya tidak memegang stereng bas.
“Kejar trip, terperangkap dalam kesesakan itu memang sesuatu yang mencabar namun itulah yang dirindui kerana sudah lama saya rasa diri ini ‘terkurung’ akibat Covid-19.
“Lebih teruja setiap kali menjelang hari raya pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) akan mengadakan program keselamatan sekali gus memberikan bingkisan raya kepada kami sebagai tanda penghargaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Terminal Bas Butterworth hari ini.
Tambah Muhamad Asif, dia dan keluarga hilang punca pendapatan susulan setiap kali perjalanan memberi rezeki buat mereka.
“Jika dahulu persiapan buat isteri dan anak dibuat awal memandangkan kerja sebagai pemandu bas ekspres ini tidak boleh meluangkan masa yang lama menjelang hari raya tetapi kali ini persiapan itu dibuat saat akhir kerana pendapatan tidak mencukupi,” katanya.
Sementara, Mohd Fairuz Saifullah,52, berkata, tiada persiapan serta baju raya tahun ini buat isteri serta tiga orang anaknya.
Kata Mohd Fairuz, dia terpaksa berjimat demi memastikan ahli keluarganya itu tidak terputus bekalan makanan susulan hampir setahun hilang punca pendapatan akibat wabak Covid-19.
“Tahun ini memang sedih bukan saja untuk saya malah seluruh ahli keluarga kerana terpaksa berkorban dari segi persediaan hari raya.
“Inilah realiti kehidupan dihadapi pemandu bas yang tidak diketahui umum. Tiada tempat untuk kami mengadu selain telan kepahitan ini sendiri,” kata Mohd Fairuz. – MalaysiaGazette