Nor Azlinawati sugul mengenangkan nasib dan masa depan anak-anaknya.

PASIR GUDANG -Sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini suram buat seorang ibu tunggal Nor Azlinawati Muda, 38, bersama-sama tujuh orang anaknya.

Nor Azlinawati Muda memberitahu, selepas bercerai dia gigih mencari pekerjaan untuk menampung kehidupannya.

Walaupun tidak ada pilihan, Nor gagahkan diri untuk bangkit demi anak-anak kesayangannya.

Bagaimanapun, menurutnya, pekerjaannya sebagai seorang operator kilang hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan harian dia sekeluarga, sekali gus tidak mampu untuk berbelanja lebih bagi menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, gaji bulanannya memang semuanya digunakan untuk komitmen bulanan seperti sewa rumah, belanja keperluan anak dan bil-bil lain.

Itu pun, kadang-kadang tidak cukup, hinggakan pada satu-satu masa beras pun tak sampai secupak untuk dikongsi bersama.

”Pernah saya nak beli bawang sampai cari-cari kalau ada 50 sen tapi tak jumpa, jangan cakap 50 sen nak cari 10 sen pun saya pernah tak jumpa sampai tahap macam tu,” kata Nor dengan sayu sambil memandang anak-anak disekelilinginya.

Nor Azlinawati Muda menerima sumbangan daripada wakil Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Faridah Hamzah di kediamannya.

Biarpun tidak berdaya berbelanja besar untuk Hari Raya, Nor berkata, dia ada beli serbuk rendang dan biskut hasil sumbangan insan-insan yang prihatin dengan nasibnya.

“Sekurang-kurangnya anak-anak ada makanan untuk dijamah di pagi raya,” katanya yang dikelilingi oleh anak-anaknya semasa kehadiran MalaysiaGazette di rumahnya di Flat Cenderai di sini.

Meskipun dalam kekurangan, Nor sentiasa bersyukur kerana dapat bersama-sama dengan semua anaknya selepas diceraikan pada tahun lalu.

Untuk menanggung keperluan anak-anaknya, Nor berkata, dia perlu bekerja kira-kira 12 jam sehari.

“Saya perlu gagahkan diri untuk mereka,” kata Nor dalam sebak.

Nor Azlinawati Muda memeluk dua anaknya.

Sementara Nor bekerja, anak sulungnya yang berusia 17 tahun akan menjaga anak-anak lain yang berusia antara 15 hingga dua tahun.

Katanya lagi, hanya dua orang anaknya yang masih bersekolah manakala yang lain telah keciciran pembelajaran akibat masalah peribadi yang dihadapinya sebelum ini, selain kerana terpaksa berpindah rumah.

Memandangkan kehidupan getir yang perlu dijalani sekarang, Nor berharap dapat menyewa perumahan rakyat agar lebih dekat dengan tempat kerja.

Selain itu mahu menyegerakan persekolahan anak-anaknya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Faridah Hamzah berkata, pihaknya akan membantu keluarga itu mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berpindah ke rumah yang lebih selesa.

Lima daripada tujuh anak Nor Azlinawati Muda.

“Ketika ini mereka menyewa di flat yg agak usang dengan persekitaran kurang selamat kerana terdapat ramai warga asing dengan risiko kes jenayah dan jauh dari tempat kerja ibu ini,” katanya pula.

Dalam kunjungan itu, Permata turut menyampaikan sumbangan barang keperluan dan duit raya untuk keluarga terbabit.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga ini bolehlah menyalurkan bantuan menerusi akaun CIMB Bank Nor Azlinawati Muda 7068 556746. –  Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast