KUALA LUMPUR – Kebenaran merentas negeri untuk tujuan kerja, kecemasan dan pasangan jarak jauh disalahgunakan untuk tujuan beraya di kampung halaman dan bawa balik ahli keluarga bersama sehingga terlajak tarikh kembali ke ibu negara.
Itu antara kesalahan yang dikesan dan dikenakan tindakan kompaun oleh polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3.0 di Tol Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis telah melancarkan operasi pemeriksaan di SJR sejak 12 Mei lalu iaitu hari pertama menyedari ada pihak yang mengambil kesempatan pulang selepas berhari raya baru baru ini.
Katanya, hasil pemantauan di Tol Gombak menghala Kuala Lumpur selama tiga hari sehingga semalam melibatkan tiga lorong pemeriksaan dan satu lorong kecemasan untuk barisan hadapan.
“Kita melaksanakan pemeriksaan teliti, periksa satu persatu dokumen rentas negeri sama ada dikeluarkan oleh pihak polis atau majikan dan lain lain dibenarkan memberi surat rentas negeri kepada pengguna lebuh raya.
“Sepanjang tiga hari lalu sebanyak 18 kompaun dikeluarkan kepada mereka yang gagal patuhi SOP.
“Tiga kesalahan paling utama dikenal pasti dari pengguna lebuh raya di sini iaitu yang pertama langsung tiada dokumen rentas negeri dan apabila ditahan dan diperiksa di SJR tol ini, mereka terpinga-pinga,” katanya ketika temui di SJR Tol Gombak hari ini.
Tambah Arifai, kesalahan kedua adalah pengguna mempunyai dokumen rentas negeri tetapi telah tamat tempoh yang dibenarkan untuk merentasi negeri.
Contoh, katanya, balai polis membenarkan pergerakan rentas negeri ke Pantai Timur untuk tujuan kecemasan, kematian dan perubatan atau pasangan jarak jauh dan dibenarkan balik pada 12 Mei sahaja bukan sehingga Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, katanya, semakan polis di SJR mendapati mereka melepasi tarikh tersebut dan balik selepas hari raya ketiga selain gagal memberi alasan munasabah menyebabkan polis bertindak tegas dan mengeluarkan kompaun RM5,000 terhadap mereka.
“Ketiga kesalahan yang dikenal pasti adalah dokumen kebenaran kerja disalahguna, misalnya mereka diberi kebenaran bekerja di destinasi Pantai Timur tapi mereka balik dengan membawa bersama ahli keluarganya dari kampung ke sini.
“ini satu kesalahan yang tidak mematuhi SOP dan kita mengeluarkan kompaun RM5,000 atas kesalahan menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diluluskan polis.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kita akan menjalankan tugas dengan tegas tanpa kompromi lagi memandangkan keadaan kes Covid-19 semasa menggusarkan yang mana kes semakin hari semakin meningkat dan wujud keperluan untuk polis lebih tegas di SJR,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur walaupun pengguna terpaksa berhadapan dengan kesesakan jalan raya hari ini kerana pihaknya akan memeriksa kenderaan dengan ketat walaupun mengambil masa lama.
Arifai juga menegaskan, polis turut menerima penghargaan berbentuk sumbangan makanan dan juga ucapan lisan daripada orang ramai.
Bagaimanapun beliau berkata , penghargaan sebenar yang diharapkan pihaknya adalah rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengurangkan Covid-19.
“Pematuhan SOP sepenuhnya tanpa melanggar peraturan adalah penghargaan yang kami mahukan daripada rakyat sebagai balasan kepada pengorbanan 24 jam petugas kami di lapangan itu,” tegasnya.-MalaysiaGazette