Affendi Buang semasa lawatan meninjau operasi kemudahan Hospital Medan ATM di Kapit Sarawak hari ini sebagai kerjasama dengan KKM dalam memerangi Covid-19.

KUALA LUMPUR – Kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi gelombang peringkat ketiga penularan Covid-19 kini dipertingkatkan.

Ini juga merupakan komitmen ATM dalam tugas-tugas sekunder bagi memastikan kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan SriAffendi Buang.

Beliau menyatakan perkara itu ketika mengadakan lawatan kerja singkat hari ini ke Hospital Medan ATM Kapit di Sarawak yang telah beroperasi sejak 10 Mei lalu di Dewan Masyarakat Melayu Kapit.

“Kemudahan logistik semasa dalam membawa bantuan perubatan dan peralatan kesihatan juga akan diteruskan dengan menggunakan aset ATM mengikut keperluan terutamanya penghantaran udara yang melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Affendi Buang bertemu dengan kakitangan perubatan KKM dan Hospital Medan ATM di Kapit Sarawak pagi Ahad 16 Mei 2021.foto ihsan ATM

“Justeru penubuhan hospital medan di lain-lain lokasi juga adalah tertakluk kepada keperluan semasa dan kemampuan sedia ada yang dapat disediakan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM,” katanya menerusi kenyataan selepas lawatan tersebut hari ini.

Turut sama dalam lawatan kerja ini adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa.

Dalam situasi Covid-19 terkini, Affendi juga mengharapkan agar setiap lapisan masyarakat memberikan kerjasama dan mematuhi arahan serta prosedur operasi standard yang telah dikeluarkan oleh kerajaan memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Affendi Buang meninjau kemudahan rawatan Covid-19 di Hospital Kapit, Sarawak pada Ahad 16 Mei 2021.foto Ihsan ATM

Menurut beliau, perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja (KKD) telah mengaturgerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan ATM ke Kapit pada 6 Mei yang lalu.
“Hospital ini adalah hospital kedua seumpamanya didirikan selepas kejayaan mengoperasikan konsep hospital yang sama di Tawau, Sabah.

“Melalui atur gerak pasukan Batalion Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Hospital Kapit, hospital medan ini berperanan menyediakan rawatan kepada pesakit selain kes-kes Covid-19.

Hospital berkapasiti 40 buah katil ini turut dilengkapi dengan kemudahan wad, farmasi, x-ray dan bilik rawatan kecemasan,” ujarnya.

Affendi Buang disertai para pegawai kanannya mendengar taklimat pengoperasian fasiliti Hospital Medan ATM di Hospital Kapit, Sarawak pada Ahad 16 Mei 2021.Foto ihsan ATM

Mengulas lanjut mengenai kemudahan itu, katanya, ia akan membolehkan Hospital Kapit memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kes Covid-19 di samping mempunyai kapasiti katil yang mencukupi bagi pesakit wabak berkenaan dan kes yang lebih serius.

Affendi berkata, pengoperasian Hospital Medan ATM di Kapit adalah selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan antara rawatan yang dilaksanakan termasuklah perkhidmatan rawatan pesakit dalam (12 jam sehari mengikut shif bagi pertugas klinik) dan perkhidmatan bahagian pentadbiran dan sokongan bermula jam 7 pagi hingga 4 petang setiap hari.

Justeru katanya, sejak hari pertama menerima pesakit pada 10 Mei 21 sehingga 14 Mei lalu, seramai tujuh pesakit telah ditempatkan di hospital ini dan seorang daripada mereka telah dibenarkan keluar menjadikan jumlah pesakit ketika ini adalah seramai enam orang.

Affendi Buang diberi taklimat semasa meninjau kemudahan hospital Medan ATM di Kapit Sarawak pada Ahad 16 Mei 2021.Foto Ihsan ATM

Affendi memberitahu pada ketika ini, kes pembedahan belum lagi dilaksanakan di hospital berkenaan namun keupayaan hospital berkenaan boleh dipertingkatkan dengan perkhidmatan dewan bedah dan unit rawatan rapi (ICU) jika ada keperluan semasa.

“Sehingga kini, ATM telah menempatkan enam pegawai termasuk Leftenan Kolonel Dr. Saiful Anuar Ju @ Ju Ahmad sebagai Komander Hospital Medan berkenaan dengan jumlah pegawai yang terdiri daripada tiga pegawai perubatan, seorang pegawai Tugas Khas, seorang Pegawai Tadbir serta 53 anggota terdiri daripada 32 paramedik dan 21 anggota perkhidmatan sokongan.

“Manakala KKM terdiri daripada 10 jururawat dan enam anggota perkhidmatan sokongan. Keseluruhannya, ATM dan KKM menempatkan petugas seramai 6 pegawai dan 69 anggota/staf di hospital medan berkenaan,” tegasnya.

Mengambil kesempatan lawatan kerja singkat ini, dan sempena sambutan Aidilfitri, Affendi turut menyampaikan sumbangan Hari Raya untuk para petugas kesihatan di hospital berkenaan.-MalaysiaGazette