LONDON – Dua bintang tenis terbesar dunia, Rafael Nadal dan Serenha Williams masih berpendirian teragak-agak untuk menyertai dan beraksi dalam temasya terbesar dunia Sukan Olimpik Tokyo pada Ogos ini.
Nadal yang merupakan juara Grand Slam sebanyak 20 kali dari Sepanyol merupakan pemenang emas dalam dua temasya Olimpik sebelum ini iaitu di Beijing 2008 dan Rio 2016.
Williams juga merangkul empat pingat emas iaitu tiga bersama adiknya Venus diOlimpik Sydney, Beijing dan London 2012.
Ini merupakan peluang terakhir mereka mewakili negara masing-masing dalam Olimpik Tokyo dengan Serena dan Nadal akan menjangkau usia lewat 40-an dan 35 pada Jun ini.
Senarai kemasukan Tenis Olimpik akan diumumkan secara rasmi pada akhir Jun ini.
Bagaimanapun, Nadal dan Serena masih belum memuktamadkan penyertaan mereka di Jepun nanti.
“Saya sangat mengambil berat tentang situasi di Tokyo sebab ia sepatutnya berlangsung tahun lalu dan ditunda ke tahun ini kerana Covid-19.
“Ia (Covid-19) memaksa saya memikirkan lebih mendalam sebelum menyatakan pendirian muktamad,” kata Williams yang merupakan juara 23 kali Grand Slam Tenis menjelang perlawanan Terbuka Itali.
Nadal pula menegaskan dia tidak dapat memberikan jawapan jelas kerana dia tidak pasti mengenainya (Olimpik).
“Saya tidak sanggup terlepas peluang beraksi dalam Olimpik. Namun di bawah situasi semasa di sana, saya tidak pasti. Kita perlu bersifat fleksibel dan perlu menyesuaikan diri dengan keadaan yang sedang di hadapi serata dunia…kita tunggu dan lihat..saya tak boleh memberikan jawapan tepat ya atau tidak (penyertaan),” tegas Nadal.
Namun ratu tenis nombor satu negara matahari terbit itu, Naomi Osaka pula menegaskan, perbincangan lebih mendalam diperlukan untuk menentukan sama ada temasya Olimpik kali ini perlu diadakan atau sebaliknya.-MalaysiaGazette