Hishammuddin Hussein
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Malaysia telah mengemukakan enam cadangan untuk menangani kekejaman dan keganasan puak zionis di bumi Palestin.

Antara yang utama adalah semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu bersatu hati dalam menentang penindasan Israel terhadap penduduk Palestin.

Menteri Luar, Datuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tanpa bersatu padu dalam OIC hakikatnya umat Islam akan goyah serta gagal dalam objektif utama penubuhannya.

Hishamuddin telah mengemukakan cadangan itu pada Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Peringkat Menteri-Menteri Luar hari ini.

Jelas beliau, tindakan seterusnya perlu untuk berdepan dan menangani konflik yang semakin meruncing di Palestin ketika ini.

“Cadangan yang lain termasuklah OIC mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertanggungjawab dalam mengekalkan keamanan serta keselamatan di di Palestin.

“Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak dengan kadar segera, kuatkuasakannya resolusi dan kedaulatan undang-undang. Israel perlu tunduk mematuhi semua yang telah ditetapkan dalam Majlis Keselamatan PBB termasuklah termasuk Resolusi 2334 dan undang-undang antarabangsa, serta Piagam PBB,” katanya ketika mesyuarat hari ini.

Kata beliau ketika mencelah, rata-rata rakyat Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB yang tidak dapat menangani kekejaman dilakukan oleh Israel pada masa ini.

“Belum ada sebarang kenyataan dari Majlis Keselamatan PBB sehingga kini. Ini sungguh mengecewakan kerana hakikatnya UNSC tidak boleh dihalang daripada menggunakan mandatnya dalam situasi yang sedang berlaku di Palestin,” ujarnya.

Cadangan lain yang dikemukakan oleh Hishamuddin ialah OIC perlu menggesa PBB memberi perlindungan antarabangsa terhadap wilayah diduduki Palestin, berikutan ia akan menghalang keganasan berterusan selain pelanggaran hak asasi manusia di kawasan itu.

Jelasnya, Malaysia berpendirian gesaan untuk perlindungan PBB itu selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutama Konvensyen Geneva akan menjamin kebertanggungjawaban semua pihak dalam konflik berkenaan.

Selain itu Malaysia juga mencadangkan negara anggota OIC dan masyarakat antarabangsa untuk menggunakan perundangan, politik dan ekonomi dalam memberi tekanan berterusan kepada Israel.

“Cadangan kelima pula menggesa semua masyarakat seluruh dunia untuk memberi desakan serta fokus kepada pelanggaran undang-undang termasuklah hak asasi manusia dan undang-undang kemanusian di wilayah di diduduki oleh Palestin,” tegasnya.

Hishamuddin juga telah mendedahkan kerjasama Malaysia dengan Brunei dan Indonesia dalam mengecam dan mengutuk Israel terhadap penindasan rejim zionis.

Cadangan terakhir yang dikemukakan oleh Malaysia ialah menggesa komuniti antarabangsa mencari penyelesaian berpanjangan untuk konflik yang sudah berlaku sejak 50 tahun ini.

“Selain tangani konflik ianya perlu ke meja rundingan untuk akhiri penjarahan Israel untuk selamanya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast