Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan rejim zionis Israel melakukan pencerobohan dan menyerang Masjid Al-Aqsa.

Baginda juga menyifatkan serangan ke atas Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan ratusan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak  terkorban dan cedera merupakan sebagai perbuatan yang zalim dan tidak berprikemanusiaan.

Sebagai tanda sokongan kepada Palestin, baginda  menitahkan semua masjid dan surau di negeri Pahang mengadakan Solat Sunat Hajat serta doa selamat selepas solat Mahgrib esok bagi sama-sama mendoakan agar Allah melindungi dan memberi kesejahteraan buat rakyat Palestin.

Baginda juga menyeru pelaksanaan solat hajat dan doa selamat juga dibuat di kediaman masing-masing bagi rakyat yang tidak berkesempatan ke masjid dan surau kerana had jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baginda turut menyeru kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Baginda berharap isu pencerobohan dan peperangan itu dapat dihentikan segera dan turut menzahirkan sokongan terhadap kenyataan media Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) yang telah dikeluarkan oleh Istana Negara pada 16 Mei lalu.

Menerusi titah tersebut, YDPA bertitah agar kerajaan Malaysia menerajui dan bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Pahang menyumbangkan sejumlah RM250,000 kepada rakyat Palestin bagi melahirkan rasa sokongan kepada mereka.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran Facebook rasminya mengumumkan perkara tersebut pada petang tadi.

Menara Kuantan 188 dicahayakan lampu warna hijau dan merah sebagai tanda soladiriti bersama Palestine

Selain itu, Menara Kuantan 188 telah memasang lampu neon bewarna merah dan hijau sebagai tanda soladiriti bersama-sama rakyat Palestin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast