Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob MCO burger seller stall RM50,000 compound Wan Mohd Faisal Wan Kadir KD Mahawangsa Covid-19 positive crewmen crew navy ship
Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 mukim di Kedah dan dua di Kelantan diletakkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai 19 Mei hingga 1 Jun ini.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 975 kes aktif Covid-19 di seluruh daerah Kota Setar.

Katanya, daripada jumlah itu, enam mukim direkodkan sebagai Zon Merah iaitu Mukim Kota Setar (78 kes), Mukim Mergong (223 kes), Mukim Pengkalan Kundor (143 kes), Mukim Derga (138 kes), Mukim Kangkong (55 kes) dan Mukim Anak Bukit (61 kes).

Selain itu, kata beliau, KKM juga mengesahkan penularan jangkitan Covid-19 telah tersebar meluas ke seluruh daerah Kota Setar dalam tempoh lapan hari sahaja bermula 8 hingga 16 Mei lalu, iaitu 799 kes dikesan.

“Ini menjadikan hampir 100 kes sehari di Kota Setar direkodkan secara purata, melibatkan beberapa kluster sedia ada dan Kluster Dah Putih iaitu kluster terbaru di daerah ini.

“Oleh itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 28 Mukim di Kota Setar berkuat kuasa 19 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di daerah ini serta menyekat penularan jangkitan kes Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Ismail Sabri, dua mukim di Kelantan yang diletakkan bawah PKPD ialah Kampung Pauh Lima dalam Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima dalam Mukim Banggu, Kota Bharu.

Jelas beliau, sehingga kini, KKM telah melakukan sebanyak 227 ujian saringan di dua lokaliti berkenaan dan 74 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Katanya, KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh dua minggu iaitu peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti ini berkuatkuasa 19 Mei sehingga 1 Jun ini,” katanya.

Sementara itu, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD selama satu minggu lagi di Taman Tanah Putih Baru, Kuantan, Pahang bermula Rabu ini sehingga 25 Mei.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di lokaliti itu yang dijadualkan tamat esok.

Bagaimanapun, sehingga kini KKM telah melakukan sebanyak 4,621 ujian saringan dan 326 daripadanya disahkan positif.

Kata beliau, KKM juga mengesahkan masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti tersebut serta terdapat kes baru dan sampel sedang menunggu keputusan.

Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKPD di Rumah Panjang Dinggai, Sungai Amut Atas, Pakan, Sarikei, Sarawak sehingga 26 Mei ini.

Ini berikutan daripada 67 ujian saringan yang dilakukan, 16 daripadanya disahkan positif.

Namun begitu, katanya, masih terdapat penularan kes dalam kalangan penduduk di lokaliti itu, selain ada lagi sampel ujian sedang menunggu keputusan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPD Kampung Meripoh dan Kota Bahagia, Muadzam Shah, Pahang, yang dijadualkan tamat pada 23 Mei ini telah disingkatkan berkuatkuasa hari ini.

Ini kerana, kata beliau, daripada 215 ujian saringan yang dilakukan, 16 daripadanya disahkan positif, selain KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast