KUALA LUMPUR – Peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dituntut pembayaran tunggakan cukai pendapatan bernilai RM9.41 juta daripada kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pada 6 Mei lepas, kerajaan selaku plaintif telah memfailkan saman dan tuntutan di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee sebagai defenden tunggal.
Media dimaklumkan Muhammad Shafee mempunyai tunggakan cukai tahun taksiran bermula dari tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan juga 2016.
Kerajaan mendakwa bagi tahun-tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016, defendan ditaksirkan dengan cukai pendapatan berjumlah RM621,291.85, RM978,854.11, RM3,581,500.000, RM1,735,124.03 dan RM1,826,557.87.
Ini melalui notis-notis taksiran masing-masing bertarikh 27 Mei 2019 dan seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus masing-masing dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 yang masih belum dibayar.
Plaintif menuntut defendan membayar RM9,414,708.32, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam pada itu peguam, Muhammad Farhan yang mewakili Muhammad Shafee ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima writ saman berkenaan dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media.
Turut dilaporkan LHDN belum menyerahkan saman tersebut kepada Muhammad Shafee dan akan melakukan demikian dalam masa terdekat.
Untuk makluman, Muhammad Shafee adalah peguam utama yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) turut berdepan pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib.
Pada September 2018, Muhammad Shafee didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu yang dikaitkan dengan wang berjumlah RM9.5 juta. -MalaysiaGazette