KUALA LUMPUR – Permohonan untuk mendapatkan suntikan vaksin Astrazeneca fasa kedua akan dibuka pada 23 hingga 26 Mei ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun kali ini hanya warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang tinggal di Lembah Klang, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang diberikan keutamaan.
Keputusan ini dibuat selepas sambutan baik yang diterima daripada orang ramai selepas pendaftaran bagi vaksin ini dibuka pada 2 Mei lalu.
Pada 2 Mei lepas, kerajaan membuka pendaftaran suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) secara sukarela dan terbuka bagi individu yang layak serta berumur 18 tahun dan proses suntikan vaksin itu bermula pada 5 Mei lalu.
“Keprihatinan kita ke atas warga emas ini adalah atas faktor kumpulan ini perlu terus dilindungi dan mempercepatkan fasa kedua pemberian vaksinasi,” katanya dalam sidang akhbar Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.
Namun pengecualian akan diberikan kepada mereka yang dalam senarai menunggu bagi mendapatkan vaksin AztraZeneca, tambah Khairy.
“Jadi, untuk vaksin AZ pusingan kedua, kita menggabungkan Fasa 2 dan Fasa 4 iaitu kawalan wabak dengan menghantar ke negeri yang merah,” katanya.
Beliau berkata, pendaftaran untuk warga emas akan dibuka pada 23 Mei ini menerusi laman web dan komuniti luar seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di negeri yang dikenal pasti sebagai zon merah.
Mengenai janji temu, Khairy menjelaskan, jika masih terdapat kekosongan yang tidak diisi dalam pusingan kedua untuk vaksin AZ pada 26 Mei ini, pihaknya akan membuka kepada orang ramai yang bawah usia 60 tahun.
“Bagaimanapun, daripada 23 hingga 26 Mei ini, hanya warga emas sahaja yang layak untuk mendapatkan janji temu dalam laman web,” katanya. – MalaysiaGazette