KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Teng Chang Khim menggunakan perkataan ‘bodoh’ terhadap Perdana Menteri melalui mencerminkan sikap biadap pemimpin DAP Selangor itu.
Ketua Armada Bersatu Selangor, Haszrilhafizi Mohayan berkata, perkataan yang digunakan itu juga seolah-olah Chang Khim memusuhi orang Islam selain mencerminkan sokongannya kepada zionis Yahudi.
“Soalnya, apakah patut Chang Khim yang tinggal dalam negara Islam seperti Malaysia dan sentiasa memberi keamanan serta perlindungan kepada semua kaum dan agama rakyat dalam negara ini, bertindak keterlaluan serta diluar batasan kemanusiaan.
“Perdana Menteri hanya menyentuh isu Palestin dan Israel dan beliau tidak pernah hilang fokus atau hilang keutamaan terhadap masalah rakyat di negara ini.
“Tiba-tiba sahaja Chang Khim bersuara untuk menjadi hero apabila bercakap pasal isu rakyat dan Covid-19. Pada hal selama ini sejak Perdana Menteri memberi tumpuan pada penyelesaian isu rakyat, pemimpin DAP itu tidak pernah menyokong, malah menidakkan usaha-usaha Perdana Menteri,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Chang Khim yang mengkritik tindakan Perdana Menteri yang menyatakan pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin yang ketika ini berdepan pencerobohan serta keganasan tentera Israel sebagai satu usaha melarikan diri daripada isu Covid-19.
Menurut Haszrilhafizi, walaupun Chang Khim sudah memadamkan status berkenaan dalam Facebook beliau namun perbuatan itu telah dibaca oleh ramai orang.
Sehubungan itu, beliau mahu pihak berkuasa menyiasat serta mendakwa Chang Khim.
“Tidak ada gunanya kita minta DAP menggenakan tindakan tatatertib atau memecat Chang Khim kerana DAP akan memberikan pelbagai alasan dan perkara sedemikian memang sudah dijangka.
“Yang lebih berkesan ialah pihak berkuasa perlu bertindak menyiasat serta mendakwa agar menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.- MalaysiaGazette