Sebanyak 13 kampung dalam Mukim Pelagat, Besut dalam pengawasan PKPD mulai Khamis ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 kampung di Mukim Pelagat, Besut, Terengganu akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini sehingga 2 Jun ini.

Keputusan itu diumumkan Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan penilaian risiko yang dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Kata beliau, kampung terlibat ialah Alor Selinsing, Bukit Yong, Tok Motong, Lak Lok Dalam, Lak Lok, Padang Landak, Padang Luas, Padang Luas Hilir, Padang Tapong, Paroh, Kubang Siam, Seberang Jerteh, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 dan 3.

Ismail Sabri Yaakob

“Sehingga semalam, sebanyak 199 kes positif Covid-19 telah direkodkan di semua lokaliti tersebut selepas KKM melakukan 1,092 ujian saringan.

“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan mengehadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, di samping memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besar-besaran dalam kalangan penduduk di Mukim Pelagat, Besut.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Rumah Panjang Wun Ak Ering dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bakerkong, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak, juga berkuatkuasa 20 Mei hingga 2 Jun ini.

Kata beliau, sebanyak lima kes positif telah direkodkan KKM dalam tempoh empat hari hasil daripada ujian saringan bergejala dan kontak rapat kes positif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast