JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor diminta mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di negeri ini.

Dewan Muda Johor (DMJ) dalam satu kenyataan memberitahu, langkah itu perlu untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang melonjak di negeri ini.

Menurut kenyataan itu, pihaknya turut meminta Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad mendesak Kerajaan Pusat agar program vaksinasi bagi rakyat di negeri ini disegerakan.

“Sekiranya PKP menyeluruh dilaksanakan, kerajaan negeri perlu mengimbangi perkara itu dengan memberikan pakej bantuan khas kepada pihak terjejas.

“Bantuan tersebut seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan moratorium secara automatik untuk satu tempoh yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

DMJ turut memaklumkan pihaknya telah menghantar surat cadangan itu ke Pejabat Menteri Besar Johor menerusi satu surat rasmi semalam.

Tambah pihaknya, kerajaan negeri juga perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara menyeluruh di negeri ini bagi mengesan penularan wabak itu dalam komuniti.

“Selain itu, kami turut mendesak kerajaan agar menamatkan proklamasi darurat agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat bersidang dan sistem demokrasi negara dapat dikembalikan,” jelas kenyataan itu lagi.

Sehingga 18 Mei, Johor mencatatkan 51,217 kes positif dilaporkan dengan 407 kes baharu selain mencatatkan 174 kes kematian manakala sebanyak 3,914 kes masih aktif.- MalaysiaGazette