PUTRAJAYA – Kerajaan akan cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang digerakkan sejak awal Mac lalu.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, beliau memahami perasaan dan kebimbangan rakyat dengan trend peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini.
“Saya sangat memahami perasaan dan kebimbangan rakyat, mereka sangat-sangat mengharapkan proses pengambilan vaksin disegerakan.
“Saya memberi jaminan bahawa program vaksinasi ini akan bertambah laju pemberiannya selepas bekalannya tiba pada Jun ini,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Khairy yang merupakan Penyelaras Jawatankuasa Vaksinasi Kebangsaan berkata, di sebalik usaha proaktif kerajaan negeri mendapatkan bekalan vaksin, beliau meminta pemimpin negeri jangan mengelirukan rakyat dengan tawaran pembelian vaksin.
“Saya memberi jaminan kepada syarikat, industri dan rakyat kita akan menyegerakan proses pemberian vaksinasi daripada yang dijangkakan oleh semua,” ujarnya.
Ditanya mengenai dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa kadar pemberian vaksin adalah rendah, Khairy berkata, ia akan meningkat pada Jun ini apabila negara menerima vaksin sepenuhnya dari China.
“Dengan perkembangan itu saya sangat yakin bahawa kita dapat menyelesaikan vaksinasi rakyat sebelum akhir tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Khairy berkata, beliau telah mengadakan persidangan video dengan pemegang taruh dan pengendali rumah penjagaan dan kebajikan warga emas bagi program vaksinasi golongan tersebut dan pekerjanya.
Menurutnya, program vaksinasi warga emas telahpun bemula sejak beberapa minggu laludi beberapa buah negeri. – MalaysiaGazette