GEORGE TOWN – Selepas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dilimpahi cahaya lampu berwarna bendera Palestin semalam, kini tiba Masjid Kapitan Keling melakukan perkara yang sama.
Pengerusi Masjid Kapitan Keling, Faruk Raja Mohamed berkata, inisiatif itu sebagai tanda solidariti seluruh rakyat Pulau Pinang terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Katanya, pemasangan lampu berkenaan selama 12 jam iaitu bermula dari pukul 7 malam hingga 7 pagi akan dibuat sehingga Palestin bebas daripada serangan kekejaman Israel.
“Sepanjang tempoh itu, cahaya lampu di masjid berkenaan dihiasi warna merah, hijau, hitam dan putih sebagai simbolik kepada bendera Palestin.
”Selain itu, dalam setiap solat fardu kita juga akan memanjatkan doa buat negara itu malah kutipan juga akan dilakukan untuk membantu saudara Islam kita di sana.
“Ini sebagai tanda kebersamaan qaryah masjid serta penduduk Pulau Pinang terhadap denyut nadi rakyat Palestin yang ditindas rejim zionis Israel,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Selain itu, rata-rata rakyat di negeri itu turut mengambil kesempatan berkongsi gambar masjid berkenaan di media sosial masing-masing. – MalaysiaGazette