SUNGAI PETANI – Seorang peniaga nasi campur dikompaun RM10,000 kerana membenarkan pelanggan makan di premisnya yang terletak di tapak parkir Hospital Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.
Pemeriksaan sepasukan polis pemantau Covid-19 dari Balai Polis Sungai Petani pada jam 9.45 pagi itu mendapati, beberapa pelanggan sedang menjamu selera lari bertempiaran sebaik sahaja melihat kehadiran pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati peniaga berusia 40 tahun itu gagal mematuhi prosedur operasi standart (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara kerana membenarkan pelanggan makan di kedai.
“Susulan itu, peniaga terbabit dibawa ke balai polis untuk tindakan kompaun,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kompaun dikeluarkan di bawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Tambah beliau, pihak polis akan mengambil tindakan kompaun sekiranya ada pihak melanggar SOP ditetapkan.
“Kita tidak akan berkompromi dan atau bersikap pilih bulu dalam mengenakan tindakan terhadap mereka yang melanggar SOP dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19,” ujar Adzli. – MalaysiaGazette