ACP Arifai Tarawe

GOMBAK – Polis menahan seorang remaja yang terlibat membakar dan membaling mercun bola ke arah anggota pasukan keselamatan itu yang sedang melakukan rondaan di Lebuh Raya Karak.

Suspek berusia 16 tahun melakukan perbuatan itu ketika bersama seorang lagi rakannya yang menaiki motosikal pada jam 10,30 malam semalam turut ditahan, kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

“Anggota berkenaan telah ternampak dua pemuda menaiki motosikal jenis Yamaha LC 135 dalam keadaan mencurigakan dan berhenti di tepi jalan berhampiran Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Tiba-tiba salah seorang dari lelaki tersebut telah membakar dan membaling mercun bola ke arah anggota polis yang bertugas di SJR dan terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, berikutan pasukan polis mengejar mereka dan berjaya menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari SJR.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui satu plastik lutsinar yang mana di dalamnya mengandungi 14 biji mercun bola bersama dan satu pemetik api.

“Hasil siasatan mendapati salah seorang suspek merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia berusia 16 tahun bertindak membakar dan membaling mercun bola kearah anggota polis yang bertugas di Sekatan Jalan Raya tanpa niat dan bersahaja.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Kedua-dua suspek 16 dan 20 tahun itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pagi tadi dan telah dibenarkan tahan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast