PASIR GUDANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan kontena yang membawa 24,750 kilogram (24 tan) susu skim dari Perancis di Pelabuhan Pasir Gudang pada Isnin lalu.
Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, penahanan itu dibuat susulan pemeriksaan dilakukan pihaknya ke atas kontena tersebut pada jam 10.45 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita mendapati nombor establishment dinyatakan di dalam sijil kesihatan yang diikrar pada label bungkusan itu mengelirukan.
“Kesemua barang dagangan bernilai RM306,931.43 itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.
Beliau menegaskan, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian menggunakan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat ataupun mengelirukan, merupakan kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika disabit kesalahan, katanya, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette