KLANG – Seorang guru besar sebuah sekolah kebangsaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan sendiri.
Menurut sumber, lelaki itu berusia lingkungan 50-an ditahan di pejabat SPRM Cawangan Klang kira-kira jam 4 petang Khamis semasa tampil untuk memberi keterangan.
“Penjawat awam tersebut ketika bertugas di sebuah sekolah di Selangor telah menggunakan kedudukannya dengan mempengaruhi pihak pengurusan Badan Kebajikan Guru-Pekerja (BKGP) sekolah terbabit bagi mengeluarkan wang sumbangan zakat dari sebuah bank berjumlah kira-kira RM70,000 untuk bantuan anak-anak asnaf.
“Bagaimanapun, wang sumbangan zakat itu telah digunakan bagi kegunaan diri beliau sendiri,” kata sumber hari ini.
Lelaki tersebut yang kini bertugas di sebuah sekolah lain di Selangor akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada jam 9 pagi Jumaat untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette