Bangunan UTHM

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menangguhkan kemasukan semula pelajar ke kampus itu hingga 7 Jun ini dan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

UTHM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu bertujuan membendung penularan wabak COVID-19 di kampus berkenaan susulan peningkatan kes jangkitan yang semakin membimbangkan di dalam negara.

“Mengambil kira situasi semasa, adalah dimaklumkan bahawa kemasukan semula pelajar UTHM, melibatkan pelajar yang akan pulang ke kampus induk dan kampus cawangan, ditangguhkan hingga 7 Jun atau tertakluk kepada sebarang pengumuman oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

“Sesi PdP akan dijalankan sepenuhnya bagi semua peringkat pengajian sepanjang tempoh PKP. Pengecualian hanya diberikan kepada pelajar penyelidikan yang sangat berkeperluan menggunakan fasiliti makmal, bengkel dan studio secara individu sahaja dan tidak berkumpulan,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA