Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – AirAsia X Bhd (AAX) telah menjelaskan bahawa penyata pendapatan mencatatkan kerugian kebanyakannya disebabkan oleh rosot nilai aset yang dibuat mengikut piawaian perakaunan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu berkata penyelarasan yang relevan diperlukan dalam konteks persekitaran operasi semasa dan proses penyusunan semula yang sedang berlangsung sekarang.

“Di bawah piawaian berkenaan, aset dianggap mengalami susut nilai tetapi liabiliti yang berkaitan dengan aset tersebut pada masa ini tetap dibayar secara kontrak dan oleh itu kekal dalam lembaran imbangan.

“Rosot nilai aset ini tidak mempengaruhi proses penyusunan semula yang sedang dilakukan oleh syarikat dan catatan perakaunan yang sesuai akan dibuat pada penyusunan semula yang berjaya yang akan mencerminkan aset serta liabiliti dengan lebih tepat berdasarkan syarat penstrukturan semula yang dipersetuji,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata AAX dan penasihat penstrukturannya, Seabury Capital yang berpusat di New York telah melakukan perbincangan dengan peminjam dan pemiutang lain dalam tempoh dua bulan selepas keputusan mahkamah (CCM) dan hasilnya dijadual akan dapat diketahui dalam beberapa minggu akan datang.

Ia berkata seperti yang diumumkan pada 7 Mei ,2021, AAX akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 1 Jun untuk para pemegang saham memilih skim tersebut.

“CCM akan diadakan pada suku ketiga bagi pemiutang untuk turut sama memilih skim penyusunan semula itu,” katanya.

AAX kekal komited untuk meneruskan operasi komersial secepat mungkin selepas berjaya menyelesaikan rancangan penyusunan semula dan pembukaan pintu sempadan antarabangsa.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan itu berkata bahawa tidak ada maklumat kewangan perbandingan yang tersedia untuk tahun sebelumnya yang sesuai dengan tempoh kerana perubahan terhadap tahun kewangannya berakhir pada 30 Jun, 2021 dari 31 Disember, 2020.

Bagi suku yang berakhir pada 31 Mac, 2021, syarikat penerbangan itu mencatat kerugian bersih RM5.67 bilion sementara pendapatan berjumlah RM38.49 juta.

Mengenai prospek, ia berkata AAX telah meminta penangguhan pembayaran dan konsesi daripada pembekal, pemajak dan pemberi pinjamannya serta mengurangkan perbelanjaan modal sedapat untuk mengekalkan kecairan pada waktu yang mencabar ini.

Pengurangan gaji telah dilaksanakan di semua peringkat syarikat itu selain daripada kakitangan yang paling junior (pekerja baru) dan jumlah pekerja telah dikurangkan sebanyak 10 peratus dengan pengurangan selanjutnya sedang dirancang terutama dalam fungsi yang berkaitan dengan operasi penerbangan.

AAX berkata ia juga telah menyusun semula sebahagian besar lindung nilai bahan bakarnya dan masih dalam proses menyusun semula lain-lain yang berkaitan.

“Kami telah memohon pinjaman bank untuk meningkatkan kecairan dan telah memulakan rundingan dua hala dengan pemajak pesawat dan rakan penyelenggaraan kami untuk mengurangkan asas kos operasi syarikat dengan ketara. Proses ini sedang berlaku sekarang,” katanya.

Dalam keadaan semasa, syarikat penerbangan akan terus mencari kecairan tambahan dan berusaha untuk mengurangkan asas kos syarikat untuk membolehkan AAX terus beroperasi dalam persekitaran pasca-COVID-19 ketika permintaan keseluruhan untuk perjalanan udara antarabangsa dijangka lebih rendah daripada tahun 2019 dan tahun-tahun sebelumnya.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast