Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu akan memasang perangkap untuk memindahkan seekor buaya tembaga yang muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus dalam masa terdekat.- Gambar Facebook.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu akan memasang perangkap untuk memindahkan seekor buaya tembaga yang muncul semula di kawasan lombong tinggal di Kampung Tepoh, Kuala Nerus dalam masa terdekat.

Pengarahnya Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata Perhilitan ada menerima aduan mengenai kemunculan semula buaya tembaga itu yang digelar penduduk setempat sebagai ‘Mamat’.

“Jangan dekati buaya itu kerana ia adalah haiwan ganas yang akan menyerang sekiranya berasa terancam. Tindakan penduduk yang masih mendekati buaya tembaga itu pada jarak sangat hampir terlalu berbahaya.

“Walaupun Mamat dikatakan jinak ketika masih kecil, namun sifat pemangsa sebagai buaya tetap ada apatah lagi saiznya kini semakin membesar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, satu video tular di laman Facebook pada Rabu lepas memaparkan beberapa penduduk termasuk kanak-kanak mendekati Mamat untuk memberi reptilia itu makan.

Melalui video yang dimuat naik di Facebook menggunakan akaun Anuar Ngah itu, dipercayai Mamat kini berusia enam tahun dengan panjang dianggarkan 5.79 meter.

Kisah Mamat bukanlah perkara baharu untuk penduduk Terengganu kerana ia mula tular pada 2016 apabila penduduk setempat selalu memberinya makanan.

Reptilia itu hanya berukuran satu meter ketika ditemukan penduduk dan ia tidak bertindak agresif menyebabkan ramai yang datang ke kawasan lombong untuk melihat dengan lebih dekat.

Bagaimanapun, pada 2019, Perhilitan Terengganu telah memasang perangkap namun Mamat gagal dikesan sehingga muncul semula baru-baru ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast