KUALA LUMPUR – Tindakan licik dua sindiket sejak Januari lalu menggunakan kenderaan, kondominium serta rumah teres dua tingkat sebagai tempat penyimpanan serta pembungkusan dadah akhirnya terbongkar.
Seramai lapan individu lelaki tempatan yang disyaki ahli dua sindiket dadah itu bernilai RM14.5 juta itu ditangkap dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Selangor dan juga ibu negara oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan juga JSJN ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam kes pertama pada 17 Mei lalu, seramai enam suspek ahli sindiket dadah ditahan polis di Bandar Kinrara, Subang dan Brickfields.
Serbuan pertama jam 1.20 tengahari polis JSJN Bukit Aman berjaya menahan suspek pertama di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di sebuah kondominium mewah di Bandar Kinrara dan hasil pemeriksaan berjaya merampas kotak mengandungi 10 bungkusan plastik disyaki berisi syabu dengan anggaran berat 10.3 kg dan juga 14 bungkusan disyaki heroin seberat 6.3 kg.
“Berpandukan tangkapan pada jam 2.15 petang pada hari sama polis berjaya menyerbu sebuah unit tingkat 14 kondominium sama sebelum merampas satu beg plastik yang berisi 27 bungkusan disyaki syabu anggaran berat 29.2 kg dan dan empat beg pastik serta kotak coklat mengandungi 129 bungkusan plastik keseluruhannya bahan disyaki heroin anggaran berat 84 .51 kg.
“Hari yang pasukan kedua JSJN Bukit Aman menyerbu satu lagi kediaman teres dua tingkat di Bandar Kinrara dan menahan suspek kedua yang menunjukkan beg plastik dalam almari di bilik berisi enam paket lutsinar 524 kapsul disyaki ectasy dan dua paket plastik tumbuhan kering ganja seberat 1.45 gram serta satu paket plastik mengandungi syabu anggaran 2.32gram.
“Pemeriksaan lanjut di tingkat atas rumah berkenaan berjaya menemui wang tunai anggaran RM1.08 juta dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam sidang media maya hari ini.
Tambah Arjunaidi, berpandukan dua suspek pertama itu bersabit kedua-dua suspek tersebut, polis menangkap empat lagi anggota sindiket berkenaan di empat lokasi berlainan di Brickifieds dan Subang Jaya.
Menurutnya, kesemua enam suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dadah dan salah seorang positif ganja hasil ujian air kencing dan jumlah rampasan dadah sindiket pertama adalah berjumlah RM8.5 juta manakala langkah susulan dan sitaan barang adalah berjumlah RM1.34 juta yang terdiri daripada wang tunai, dua kereta dan tiga motosikal serta barang kemas, jam tangan mewah dan berjenama selain akaun bank simpanan RM6,000.
Arjunadi menjelaskan, dalam tangkapan sindiket kedua pada keesokan harinya 18 Mei lalu sekitar jam 3.30 petang, pasukan JSJN IPK Selangor pula mengempur dan menahan seorang lelaki tempatan di dalam sebuah kereta Perodua Myvi di tepi jalan kawasan Seri Kembangan.
Ujar beliau, berpandukan maklumat suspek polis telah menggempur sebuah rumah berhampiran dan merampas dua beg kanvas dan dua kotak yang mengandungi 148 ketulan mampat disyaki heroin base seberat 56.24 kilogram dan juga empat lagi beg kanvas yang mengandungi 78 bungkusan berisi syabu anggaran berat 79.54kg beserta peralatan yang digunakan untuk pembungkusan dadah.
“Pada hari yang sama sekitar jam 4.40 petang kita bersama suspek berkenaan telah menyerbu sebuah kondominium di Seri Kembangan sebelum menahan seorang lagi lelaki tempatan untuk siasatan lanjut.
“Berpandukan maklumat suspek kedua ke tempat letak kereta kondominium berkenaan polis memeriksa but kereta Wolksvagen sebelum menemui tiga beg kanvas mengandungi 50 bungkusan syabu seberat 51 kg.
“Kedua dua lelaki tempatan itu yang mendalangi sindiket kedua ini berusia 25 dan 41 tahun dan hasil ujian air kencing negatif dadah.
“Kesemua lapan suspek dua sindiket dadah yang ditangkap itu kini direman antara dua hingga tujuh hari mulai 18 Mei lalu dan disiasat di bawah 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung jika disabitkan kesalahannya,” ujarnya.
Hasil analisa polis menunjukkan ketulan heroin base yang dirampas boleh menghasilkan 6,750 gram heroin dan 148 ketulan pula boleh menghasilkan 843.6g heroin dan keseluruhan rampasan heroin seberat 934.14kg boleh dibekalkan kepada 1.87 juta penagih dalam tempoh sehari sekiranya pengambilannya kira- kira 0.5 gram seorang.
Manakala syabu seberat 170 kg boleh dibekalkan untuk penggunaan 170,000 penagih sehari pada kadar satu gram sehari.
Arjunaidi juga tidak menolak kemungkinan kedua-dua sindiket itu mendapatkan bekalan daripada negara jiran di utara Semenanjung dan kerja mereka sepenuh masa adalah mengedar dadah dan mengaut keuntungannya berdasarkan wang tunai RM1.08 juta dan dadah bernilai keseluruhan RM14.5 juta yang dirampas.
“Hasil siasatan juga mendapati modus operandi mereka berkemungkinan guna rumah kondominium dan teres dua tingkat itu menjadi tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah dalam bungkusan kecil sebelum dijual dan diedar sekitar pasaran Lembah Klang kerana jumlah rampasan bekalan pun besar.
“Kita juga sedang menyiasat sistem rangkaian kedua-dua sindiket ini untuk mengenalpasti dalang utama yang sedang bersembunyi di sebalik tabir iaitu downstream dan upstream kedua-dua sindiket itu walaupun saling tidak berkaitan,” tegasnya.-MalaysiaGazette