KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan 80 peratus kakitangan awam melibatkan 750,000 orang di Semenanjung dan Labuan akan Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula Selasa ini.
Bagi sektor swasta, seramai 6.1 juta pekerja iaitu 40 peratus dibenarkan bekerja dari rumah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, strategi itu dilaksanakan untuk mengurangkan pergerakan.
“Bagi kakitangan kerajaan siapa yang akan bekerja dari rumah, peringkat mana, maklumat lanjut akan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam masa terdekat.
“Selain itu, sektor swasta juga akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir pada satu-satu masa kepada hanya 60 peratus. Maklumat terperinci akan dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya menerusi sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Sidang media itu diadakan susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, berkenaan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial untuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Tambah Ismail, Sekatan Jalan Raya (SJR) juga akan ditambah untuk memastikan pergerakan dapat dikurangkan.
Menurutnya, kapasiti pengangkutan awam laut dan darat dihadkan kepada 50 peratus dan kekerapan perjalanan turut dikurangkan.
Ujarnya, kerajaan turut menghadkan operasi perniagaan bermula 8 pagi hingga 8 malam kecuali farmasi.
Sementara itu Ismail Sabri berkata, Prosuder Operasi Standard (SOP) lebih lanjut dan terperinci boleh diakses di laman sesawang kementerian berkaitan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – MalaysiaGazette
Patutnya tutup sahaja Mall pada hari Sabtu Ahad, supaya orang ramai tidak melepak di mall tanpa tujuan.
Sekiranya kadar jangkitan positif pandemic tinggi tetapi kadar rakyat dicekup ingkar SOP rendah maka pihak berkuasa boleh disalahkan kerja lepak jer.