KUALA LUMPUR – Usaha mencegah dan mengawal jangkitan Covid-19 masih memerlukan kombinasi antara program Tindakan Kesihatan Awam oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tindakan penguatkuasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memandangkan kes harian masih membimbangkan, kombinasi kedua-dua langkah ini sangat penting untuk memastikan orang ramai tidak bertindak sambil lewa, sekali gus membantutkan usaha mengurangkan kes.
“Apa yang kerajaan lakukan sekarang iaitu menambah sekatan pergerakan adalah untuk menyelamatkan nyawa orang ramai walaupun ada sebilangan kecil belum dapat menerimanya.
“Walaupun ada kajian menunjukkan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat Malaysia masih tinggi, proses penguatkuasaan perlu diperketatkan atau ditingkatkan untuk menyedarkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga dan fenomena ini amat membimbangkan sehinggalah merekodkan kes tertinggi bermula 20 Mei 2021 dengan 6,806 kes.
“Ketika ini, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt/Ro) negara berada pada paras 1.2 berbanding 0.8 yang pernah direkodkan pada pertengahan April 2021.
“Tiada jalan lain lagi boleh dilakukan setakat ini melainkan meningkatkan penguatkuasaan kerana ia sebenar lebih kepada mendidik bukan menghukum semata-mata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette