Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati polis agar berhenti daripada mengganggu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan pendedahannya mengenai isu kematian dalam tahanan polis, baru-baru ini.

Sebaliknya Muhyiddin perlu menggesa pihak polis menyiasat segera pendedahan dan dakwaan ahli Parlimen Muar itu mengenai isu kematian dua individu ketika berada dalam tahanan polis, bulan lalu.

“Perdana Menteri dan anggota kabinet dan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak patut diam bisu terhadap siri kematian dalam tahanan polis.

“Mereka haruslah ambil pendirian yang tegas dalam isu ini dan mengarahkan polis untuk menyiasat kematian Ganapathy dan Sivabalan.

“Saya menyeru Perdana Menteri untuk menasihati secara terbuka kepada pihak polis untuk menghentikan segala gangguan terhadap Syed Saddiq dan pulangkan telefon bimbitnya kepada beliau,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, polis merampas telefon bimbit milik Syed Saddiq sebagai sebahagian daripada keperluan siasatan ke atas hantaran Instagram berhubung kematian A Ganapathy.

Bekas Menteri Belia dan Sukan menyifatkan rampasan telefon bimbit, kad sim dan akses kepada akaun media sosial sebagai bukan satu keperluan sedangkan beliau telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Teresa juga menyifatkan siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Syed Saddiq mengenai kematian Ganapathy dalam tahanan polis dan rampasan telefon bimbitnya adalah amat tidak wajar dan merupakan tindakan kasar.

“Saya juga terkejut membaca pihak polis dan SKMM ingin masuk dalam akaun Instagram Syed Saddiq demi menyiasat komennya terhadap kematian Ganapathy.

“Apakah salah kritikan Syed Saddiq terhadap kematian Ganapathy dalam tahanan polis? Syed Saddiq hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dalam hal ini.

“Polis sepatutnya menjawab komen beliau melalui media rasmi dan bukan menjalankan siasatan terhadap beliau,” katanya.

Menurut Teresa, rakyat ingin tahu sama ada bekas Menteri Dalam Negeri yang kini merangkap Perdana Menteri masih serius terhadap reformasi dalam pasukan polis dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Saifuddin adalah bekas anggota kKabinet di dalam Kerajaan PH di mana penubuhan IPCMC adalah salah satu agenda dan dasar kerajaan PH.

“Komen Syed Saddiq adalah sejajar dengan dasar kerajaan PH. Apakah Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Saifuddin Abdullah telah alih daripada dasar ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kes Adib kenapa tak riuh..
    Syed Saddiq masa PH ..kenapa tidak bersuara pasai Keadilan buat Adib tetapi bila sudah tidak jadi menteri sibuk nak perjuangkan ..Hanya politik dan mahu undi daripada kaum india .
    Kalau macam ni bermakna tiada apa2 yg boleh diharapkan drpd parti Muda keraba trend sama macam parti2 lain…Berjuang hanya utk kepentingan diri dan Islam dijualbeli

Comments are closed.