Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM.

KUALA LUMPUR – Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) dicadangkan digunakan sebagai hospital Covid-19 susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan katil rawatan kritikal dan unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan itu telah dibincangkan.

”Setinggi-tinggi penghargaan kepada UKM di atas segala kerjasama yang diberikan. Semoga dipermudahkan segala urusan dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, HPKK UKM merupakan hospital pengajar yang baru siap dibina dan terletak bersebelahan dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Hospital ini mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal/ICU yang berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat COVID-19 khususnya mereka dengan gejala yang serius.

Melalui Seksyen 3 and 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia dapat melaksanakan pemilikan sementara bangunan dan permintaan penggunaan sumber (termasuk sumber manusia) hospital pengajar dan swasta bagi maksud menangani wabak Covid-19 ini.

Dr Noor Hisham berkata, kemasukan ke ICU di seluruh negara bertambah sebanyak 60% jika dibanding dengan tempoh dua minggu yang lepas, manakala Lembah Klang mencatat peningkatan lebih tinggi iatu 94% berbanding tempoh yang sama.

Manakala kadar penggunaan katil ICU di hospital-hospital di Lembah Klang kini sudah melebihi 100%. – MalaysiaGazette