Polis rampas syabu yang disorok dalam beg sekolah kanak-kanak dalam satu serbuan di Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin.

KEPALA BATAS – Taktik satu sindiket pengedaran dadah menyorok syabu dalam beg sekolah bagi mengaburi mata pihak polis berjaya dibongkarkan dalam serbuan di sebuah rumah di sini kelmarin.

Serbuan jam 5.30 petang itu turut membawa kepada penangkapan empat individu termasuk dua wanita yang dipercayai ahli sindiket.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan pihak polis merampas dadah jenis syabu seberat 5.2 kilogram (kg) bernilai RM204,400 yang disorok dalam satu beg sekolah kanak-kanak.

“Dalam serbuan tersebut, kita juga merampas wang tunai RM1,059 serta menyita dua kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Kenari.

“Semakan lanjut mendapati hanya seorang daripada empat suspek itu memiliki rekod jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran sekitar Kepala Batas dan ia boleh digunakan antara 4,000 hingga 5,000 penagih.

“Kesemua tangkapan berusia lingkungan 42 hingga 59 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar Noorzainy. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast