SHAH ALAM – Seramai 2,751,706 individu di Selangor sudah berdaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk mendapatkan vaksinisasi, sejak 24 Februari lalu hingga kini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, 204,153 atau 4.2 peratus telah menerima suntikan imunisasi Covid-19 itu.
“Setakat data yang kita ada, 4.2 peratus iaitu lebih 204,000 orang di Selangor telah mendapat vaksin atau menerima program vaksinisasi kebangsaan.
“Pendaftaran sekarang ini 2.7 juta orang, satu angka yang tinggi, sekitar satu per tiga daripada keseluruhan populasi rakyat Selangor termasuk warga asing,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan penghantaran bekalan vaksin itu perlu disegerakan bagi melindungi bukan sahaja rakyat bahkan barisan hadapan ekonomi.
“Vaksinisasi adalah salah satu daripada strategi untuk kita melawan Covid-19, kalau kita berjaya laksanakan dengan cepat dan pantas, kita akan dapat mencapai sasaran.
“Sebagai contoh strategi kerajaan hari ini adalah untuk kawalan kendiri di samping meneruskan aktiviti ekonomi.
“Mereka yang bergerak dalam sektor ekonomi juga harus diberikan perhatian untuk divaksin,” katanya.
Jelasnya, program vaksinisasi bukan sahaja menjadi masalah kepada pengusaha kilang dan tauke besar, bahkan ia pekerja-pekerja mereka perlu dilindungi dalam mengekalkan aktiviti ekonomi.
“Ini bukan masalah kepada tuan punya kilang, taukeh-taukeh besar atau pengusaha sahaja.
“Kita kena ingat bahawa ada pekerja di mana kelompok B40 dan M40 yang harus divaksin.
“Kita bukan lihat kepada tuan punya premis atau wang yang dihasilkan tapi juga nasib pekerja-pekerja ini,” katanya.
Mengulas lanjut pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat, Amirudin melihat barisan hadapan ekonomi juga perlu dilindungi ketika kerajaan tidak mahu melumpuhkan aktiviti ekonomi.
“Strategi kerajaan pada hari ini ialah tidak mahu melumpuhkan ekonomi atau apa-apa keputusan seperti full lockdown itu akan melumpuhkan ekonomi.
“Jadi kena lindung juga mereka yang bekerja, kalau tidak kes akan terus naik kerana kita tak mampu melindungi mereka yang bekerja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette