TAIPING – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai bertindak melukis grafiti perkataan memburukkan kerajaan di beberapa lokasi sekitar daerah tersebut semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lelaki berusia 30-an itu diberkas di sebuah rumah di Taman Sungai Mas di sini pada jam 3.45 petang.
“Hasil pemeriksaan di rumah suspek membawa kepada rampasan satu blok tulisan ‘kerajaan gagal’ serta satu tin penyembur cat berwarna hitam yang dipercayai digunakan suspek untuk melukis graviti di beberapa bangunan dikenal pasti.
“Dalam serbuan itu, pihak polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Osman, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat di mahkamah hari ini.
Terdahulu tular beberapa keping gambar di media sosial menunjukkan lukisan grafiti perkataan memburukkan kerajaan di beberapa lokasi sekitar daerah Taiping. – MalaysiaGazette